Jumaat, 27 Disember 2013

Gerakan: Gantung The Heat burukkan imej k'jaan


MALAYSIAKINI

 

Kempen membantah penggantungan The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut menggamit ahli politik dan tokoh masyarakat terlibat sama membincangkannya, termasuk Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang (bawah).


Beliau turut tampil menulis pesanan di Twitter semasa kempen harian menggunakan hashtag #theHeat anjuran perkumpulan longgar wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM).

"Sudah ada undang-undang fitnah. Kenapa perlu gantung akhbar? (Ia) hanya tambah kerosakan kepada imej kerajaan,” tulisnya kelmarin.

Beliau juga berhujah, rakyat sendiri harus dibiarkan menghakimi mutu sesebuah akhbar itu, termasuk akhbar organ pembangkang.

"Ada sebab mengapa pengedaran Harakah, Keadilan Daily dan Roket rendah. Jika ia sampah, orang takkan beli. Biar rakyat yang menghakimi #theHeat," tulis beliau lagi.

Ambiga: Serangan pada kebebasan

Sementara itu, bekas pengerusi Majlis Peguam dan BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (bawah) pula aktif menyokong GERAMM sejak permulaan kempen di media sosial itu pada Isnin.

"Penggantungan The Heat bukan hanya serangan kepada media, ia adalah serangan kepada rakyat dan hak kebebasan #theheat," tulis beliau.

Manakala bekas ahli parlimen Temerloh dan bekas majlis tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah turut secara terang menyokong keperluan media yang bebas kepada negara.

"Saya sokong kebebasan media," tulis beliau ketika memberi sokongan di Twitter, tanpa merujuk langsung kepada kempen GERAMM.

Forum kebebasan media

GERAMM bakal menganjurkan forum ‘Bebaskan Media’ esok di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) di ibu negara pada jam 8.30 malam.

Panelis ialah Steven Gan (Malaysiakini), V Anbalagan (The Malaysia Insider), G Vinod (Free Malaysia Today), Ronasina (penerbit bebas), Masjaliza Hamzah (Pusat Kewartawanan Bebas atau CIJ) dan Hata Wahari (Wartawan Tanpa Sempatan atau RSF).

Wartawan veteran Zulkifli Sulong akan menjadi moderatornya.

Antara isu bakal disentuh ialah keganasan pada pengamal media sewaktu BERSIH 3.0 pada 2012; masalah permit penerbitan dan kawalan Akta Penerbitan, penggantungan akhbar mingguan The Heat dan akhbar pembangkang.

GERAMM turut menganjurkan kempen memakai baju merah setiap Jumaat. Setakat berita ini ditulis, Facebook kumpulan itu sudah diikuti oleh 3,021 pengguna dan 971 orang di Twitter.

Tiada ulasan: