Jumaat, 20 Disember 2013

Gas bocor, 3 pekerja restoran makanan barat di Sogo cedera

HARAKAH DAILY


KUALA LUMPUR: Tiga pekerja restoran makanan barat di pusat membeli-belah Sogo di sini, cedera selepas berlaku kebakaran, dipercayai akibat kebocoran gas di dapur restoran itu hari ini.

Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa Imam Bukhari Susami berkata bomba menerima panggilan kira-kira 10 pagi dan menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

"Setibanya di situ, api telah dipadamkan menggunakan alat pemadam api yang terdapat di restoran itu.

"Kebakaran hanya berlaku di bahagian dapur dan tidak merebak di bahagian lain. Ketiga-tiga mangsa yang mengalami kesan melecur di beberapa bahagian badan, dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang pekerja jualan di pusat membeli-belah berkenaan, Awatif Abdullah, 29, berkata beliau terdengar bunyi letupan beberapa kali dari arah restoran sebelum dimaklumkan berlaku kebakaran yang mengakibatkan tiga kakitangan restoran itu cedera. - Bernama

Tiada ulasan: