Afdlin Shauki 
 Afdlin Shauki


SEJAK dua tahun kebelakangan ini, masalah sambutan penonton terhadap industri perfileman tempatan mula menjadi perhatian serius para karyawan tanah air. Biarpun 2011 memperlihatkan fenomena penonton ke panggung sehingga beberapa buah filem berjaya mencatat kutipan RM7 hingga 10 juta sepanjang tempoh tayangan, namun perkara tersebut tidak berlanjutan untuk tahun seterusnya.

Senario penonton kurang ke panggung membuatkan beberapa penerbit terpaksa mengangkat tangan dan beralih ke bidang penerbitan seperti drama dan teater kerana tidak sanggup untuk menampung kerugian. Ia sekali gus mengulangi mimpi-mimpi ngeri sesetengah penerbit yang terpaksa gulung tikar sebelum tahun 2011 kerana sambutan yang cukup dingin.

Bahkan nama-nama besar dalam industri penerbitan dan pengarahan seperti Hans Isaac, Eirma Fatima, Aziz M Osman pernah meluahkan kekecewaan dengan sambutan penonton terhadap filem arahan atau terbitan mereka sehingga mereka mengambil jalan selamat untuk bertukar angin.

Masalah itu juga turut dirasai oleh penerbit, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki yang pernah merasakan industri pengarahan bagaikan tiada lagi masa depan buatnya. Dek kerana sambutan filem yang ada turun dan naiknya, dia pernah terfikir untuk berhenti dari menghasilkan filem.

“Oleh kerana masalah sambutan penonton yang tidak konsistenlah membuatkan saya menyimpan filem Papadom 2 selama dua tahun dan teragak-agak untuk menghasilkan filem ini.

“Malah saya akui sehingga kini saya masih tidak berani untuk mengarah filem dan Papadom 2 adalah filem terakhir yang saya arahkan setakat ini,” jelasnya kepada media baru-baru ini.

Ditebak adakah dia merajuk dengan dunia perfileman kerana masalah itu dan terfikir untuk bersara, Afdlin berkata: “Tindakan itu bukan bererti saya merajuk atau ingin bersara daripada dunia pengarahan cuma industri perfileman.

“Saya tidak berani untuk mengambil risiko dengan mengarahkan filem buat masa ini tetapi jika ada karya yang baik mungkin saya akan lakukan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, industri perfileman adalah ibarat cintanya, justeru tidak mungkin untuk Afdlin berundur dalam masa terdekat ini.

“Bagi saya buat filem dua tahun sekali pun tak apa, asalkan bila ia ditayangkan orang ingat tentang jalan cerita dan ia memberikan kesan kepada penonton seperti maklum balas yang saya terima dari filem Papadom.

“Lagipun saya suka menulis skrip dan ia ibarat penceritaan saya kepada semua. Jadi bila saya buat filem, saya ibarat ‘story teller’ dan penonton adalah pendengarnya,” katanya.

Tumpu perniagaan

Biarpun jarang-jarang menghasilkan filem, Afdlin berkata, karier seninya masih berjalan seperti biasa dan dia masih menerima undangan lakonan dan sebagainya. “Saya masih berlakon filem di bawah arahan orang lain dan bakal muncul dengan filem Kami Histeria tidak lama lagi.

“Selain itu, bila ada kelapangan, kumpulan Boboi masih menerima undangan untuk membuat persembahan dan sebagainya. Pendek kata, jadual saya masih lagi terisi dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Dalam pada sibuk dengan karier seni, Afdlin berkata, dia juga sedang sibuk menguruskan perniagaan Pelikat Pants (Seluar Pelikat) yang baru sahaja dipasarkan di Malaysia. Selain itu, perniagaan kek coklat Boboi juga mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

“Alhamdulillah, tahun lalu saja sebanyak 34, 000 bekas kek coklat telah berjaya dijual dan tahun ini juga sambutan tidak kurang hebatnya. Sejujurnya saya sangat teruja dengan cabang baru ini dan banyak juga memberi tumpuan terhadap dua perniagaan ini,” katanya.

Misi Afdlin

Tidak hanya sekadar sibuk dengan karier dan perniagaan, Afdlin berkata, dia juga tidak lupa untuk terus menghulurkan bantuan kepada saudara-saudara Islam seperti di Gaza yang terus-terusan di bedil Israel.

Afdlin berkata, misi kemanusiaan itu diharapkan dapat menjadi sebahagian daripada hidupnya dan bukannya dilakukan kala masa senggang sahaja.

“Alhamdulillah, sehingga kini masih ada perancangan untuk menghantar misi kemanusiaan dan Insya Allah misi ini tidak akan dilakukan ketika masa lapang sahaja dan ia akan terus menjadi sebahagian perkara yang perlu dilakukan dalam hidup,” ujarnya.

Jelas Afdlin, biarpun sudah berkeluarga, ia bukan satu alasan untuk menghulurkan bantuan kepada orang yang lebih memerlukan.

“Dalam Islam sendiri ada mengatakan, selagi kita bantu orang, Allah akan bantu kita. Rezeki kita juga akan menjadi semakin murah,” ujarnya.

Filem tanda ingatan

Dalam pada itu, berkongsi mengenai penghasilan Papadom 2, Afdlin mendedahkan, dia banyak kali mengalirkan air mata semasa penghasilan filem ini dan juga selepas menontonnya. Jelas Afdlin, filem sekuel itu cukup menyentuh hatinya kerana jalan cerita yang dipaparkan begitu dekat dengan dirinya sebagai seorang bapa.

“Saya seorang ayah yang kuat bekerja. Beberapa kali saya menangis sewaktu penggambaran kerana hati saya tersentuh. Malah dalam tempoh menyiapkan filem ini, saya sudah menonton beratus-ratus dan setiap kali menontonnya, saya akan menangis.

“Saya buat filem ini pun sebagai pengajaran dan nak mengingatkan diri saya sendiri yang dalam dunia ini tiada apa yang penting selain daripada keluarga kita. Malah banyak maklum balas yang saya terima di kalangan penonton yang pernah menonton Papadom dulu, ada yang kata alangkah seronoknya kalau dapat ayah seperti Saadom.

"Tapi ada juga yang kata, susahnya kalau dapat ayah macam tu. Kebanyakan maklum balas tu positif menjadi perbualan ramai dan filem ini memang untuk tontonan seisi keluarga,” katanya.

Papadom 2 membawa kesinambungan Saadom yang terkejut dan mula menyusun strategi apabila mengetahui anaknya Miasara merancang mahu berkahwin.

Saadom dan rakan baiknya pergi ke Kuala Lumpur untuk bertemu Miasara sekali gus memastikan anaknya tidak membuat pilihan yang salah.

Siapakah teman lelaki Miasara? Apakah hasrat Miasara dan teman lelakinya direstui oleh Saadom? Dan bagaimana pula dengan hubungan Saadom dan profesor Balqis? Ikuti kisah seorang bapa prihatin dan anaknya di dalam Papadom 2 di pawagam mulai 12 Disember 2013.

Selain Afdlin, ‘Papadom 2’ turut dibintangi oleh Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Vanidah Imran, Chelsia Ng, Noorkhiriah, Pete Teo, Adham Malekh serta penampilan barisan baharu seperti Khir Rahman, Hans Isaac, Riezman Khuzaimi, Dira Abu Zahar, Johan Raja Lawak, Ozlynwaty dan ramai lagi.