Khamis, 19 Disember 2013

Ezam: Kerajaan ambil jalan mudah naikkan tol

 
"Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju mesti lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah 





PETALING JAYA: Kerajaan Pusat ditegur supaya mengambil tindakan tegas untuk memperbetulkan sikap beberapa pembuat dasar yang gemar mengambil jalan mudah dengan menaikkan tarif elektrik dan tol.

Ahli Dewan Negara Senator Ezam Mohd Nor berkata, cara itu diambil hanya memindahkan beban kepada rakyat semata-mata untuk selesaikan masalah mereka (pembuat dasar).

“Kerajaan transformasi yang bercirikan negara maju mesti lebih efisien dan canggih dalam merungkai masalah bukan dengan jalan mudah naikkan tarif dan minta rakyat tanggung beban.

“Cara ini bukan cara sebuah kerajaan transformasi yang seharusnya lebih tangkas tangani masalah disamping mempertahankan kedudukan rakyat bawahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ezam yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, isu ketirisan, suapan rasuah, perjanjian konsesi berat sebelah dan terlalu menguntungkan golongan korporat juga harus diberi perhatian

“Perlu ada tumpuan khusus kepada soal rasuah dalam menyelesaikan masalah.

“Walaupun ianya rumit berbanding keputusan naikkan harga tarif tetapi itulah tanggungjawab pembuat dasar yang menggelar dirinya kerajaan transformasi,” katanya.

Kenaikan kadar tol mendapat pelbagai respon negatif daripada pemimpin bukan sahaja Pakatan Rakyat tetapi turut mendapat bantahan daripada Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen BN-Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menggesa Putrajaya mengkaji semula cadangan kenaikan kadar tol kerana BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu telah berjanji secara spesifik melalui ‘Akujanji Pilihan Raya’ mahu mengurangkan tol secara berperingkat.

Beliau turut menyeru Kementerian Kerja Raya membuat kajian lebih holistik sebelum menandatangani sesuatu konsesi tol baru pada masa akan datang, antaranya Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) dan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (Suke).

Tegasnya, Kementerian Kerja Raya juga perlu menyatakan kepada umum mengenai status kajian penstrukturan kadar tol Lebuhraya Besraya, Damansara-Puchong (LDP) dan Baru Pantai (NPE)

“Rakyat wajar diberikan pencerahan mengenai kajian semula, apatah  lagi ia dinyatakan secara spesifik dalam Pelan Perancangan Strategik Kementerian Kerja Raya.

“Rasionalisasi subsidi mesti dilakukan secara berhati-hati agar ia tidak membebankan rakyat dalam apa jua keadaan. Berdasarkan maklum balas rakyat, mereka terbeban dengan apa yang berlaku akhir-akhir ini,” katanya semalam.

Tiada ulasan: