Ahad, 22 Disember 2013

Dengan GST dan inflasi, Pakatan mahu tawan undi pedalaman

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Orang awam mendengar ceramah anti GST menerusi kempen 'Faham GST, Tolak GST' di Kuala Lumpur pada 20 Disember, 2013. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.Orang awam mendengar ceramah anti GST menerusi kempen 'Faham GST, Tolak GST' di Kuala Lumpur pada 20 Disember, 2013. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.
























Pemimpin PAS, Dr Idris Ahmad berkata, kenaikan kos sara hidup dan harga barang akan menjadi penentu kepada masa depan politik di kawasan pedalaman Perak.

Biasanya, kebanyakan penduduk kampung adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN), tetapi dengan kehimpitan hidup disebabkan pengurangan subsidi gula, petrol dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), situasi ini bakal berubah.

Dr Idris berkata, sebagai contoh, penyokong tegar Umno yang beliau temui sudah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan pilihan mereka dan mereka sudah mula rasai kenaikan kos hidup disebabkan harga petrol dan gula yang lebih mahal.

"Mereka sudah marah. Ini belum GST lagi," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Pandangan Idris mencerminkan perasaan kebanyakan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) di seluruh Malaysia.

Peningkatan kos hidup dan cukai baru GST yang dirasai semua termasuk penduduk luar bandar, akan memecahkan cengkaman psikologi BN terhadap mereka.

Tetapi, pemimpin PR sedar mereka menghadapi cabaran dan rintangan yang tinggi.

Ini kerana mereka perlu menagani kemisikinan dan kekurangan maklumat penduduk kawasan pedalaman yang selama ini menyebabkan orang kampung masih menjadi penyokong BN.

Keperitan hidup semakin mencengkam

Buat masa sekarang, rasa tidak puas hati masyarakat terhadap BN sudah menjadi satu realiti.

Sebuah tinjauan pendapat dilakukan badan bebas Merdeka Center pada 4 - 12 Disember menunjukkan 47 peratus daripada mereka yang dikaji menyatakan kekecewaan terhadap peningkatan kos sara hidup.

Kajian itu dilakukan selepas pentadbiran BN mengurangkan subsidi petrol dan gula, serta mengumumkan kenaikan harga tol dan tarif elektrik.

Ia juga selepas Bajet 2014 meluluskan pelaksanaan GST yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Sebanyak 49 peratus responden melahirkan rasa tidak puas hati dengan hala tuju negara berbanding dengan 41 peratus yang berpuas hati.

Majoriti atau 45 peratus daripada 49 peratus yang tidak puas hati itu berkata perasaan mereka disebabkan inflasi dan keadaan ekonomi yang tidak baik.

Lebih mengejutkan, 45 peratus daripada responden yang duduk di luar bandar melahirkan rasa tidak puas hati dengan hala tuju negara.

Tambahan pula, jumlah responden Melayu yang mengatakan mereka berpuas hati dengan kerajaan menurun daripada 67 peratus kepada 52 peratus.

Keputusan kajian itu memberi peluang kepada PR, khususnya PAS, kerana ia adalah pesaing utama Umno dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu-Islam luar bandar.

Seperti yang pernah dikatakan oleh pemimpin PAS Terengganu, Nik Zawawi Nik Salleh, PAS mendapat banyak sokongan daripada pengundi Melayu-Islam di bandar semasa Pilihan Raya Umum 2013.

PAS berjaya memenangi hampir semua kerusi kawasan bandar di Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor. Berlaku juga peningkatan sokongan bagi parti Islam itu di Johor dan Pahang.

"Melayu bandar tolak Umno. Masalah kita adalah di kerusi luar bandar. Ia bukan isu Melayu atau bukan Melayu. Ia adalah isu pendedahan dan pendidikan.

"Malah, di sesetengah kawasan luar bandar kita lihat bukan Melayu pun sokong BN,” katanya.
 
Emosi sahaja tidak guna  
Kemeja T dengan logo Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama serta logo anti GST dan TPPA dijual sempena kempen 'Faham GST, Tolak GST'. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.Kemeja T dengan logo Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama serta logo anti GST dan TPPA dijual sempena kempen 'Faham GST, Tolak GST'. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.
Dalam suasana beginilah, PR dan beberapa NGO melancarkan kempen anti-GST bertajuk “Faham GST, Tolak GST”, pada 20 Disember.

Kempen itu akan menyaksikan road-show di adakan di seluruh negara kata, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin. SAMM adalah NGO yang menjadi pengerak utama kempen tersebut.

Salah satu objektif adalah untuk melawan kempen media kerajaan yang cuba meraih sokongan rakyat terhadap GST, kata Badrul Hisham.

“Kerajaan mahu rakyat terima GST tetapi masih ramai yang tak tahu GST itu apa. Jadi kita mesti berusaha untuk rakyat faham apa itu GST,” katanya.

Dalam kajian Merdeka Center sendiri sebanyak 55 peratus responden berkata, mereka tidak pasti impak GST terhadap mereka.

Walaupun pelancaran kempen tersebut seumpama ceramah mega dengan siri ucapan daripada pemimpin PR, road show di negeri-negeri bakal menggunakan format lain bagi menyebar informasi dalam bentuk yang mudah difahami.

Ia akan terbuka kepada masyarakat tetapi peserta utamanya adalah daripada kalangan pemimpin akar umbi PR, aktivis setempat dan ketua kampung yang sehaluan dengan gagasan itu. Ini kerana merekalah yang akan menjalin hubungan harian dengan masyarakat desa.

Pemimpin seperti Idris mengalu-alukan peluang daripada roadshow itu untuk membekalkan jentera parti dengan mesej GST dan inflasi yang akan dibawa kepada orang kampung.

“Kita tidak mahu orang marah sahaja kerana barang naik. Emosi macam ini selalunya tidak lama. Orang boleh emosi tapi bila BN datang tabur BR1M, hilanglah marah tu.

“Apa yang kita perlu bagi adalah pendedahan dan pendidikan,” kata Idris.

Fenomena emosi ini juga dapat dilihat di dalam kajian Merdeka Center apabila sebanyak 57 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 masih menganggap bahawa negara berada hala tuju yang betul.

Walhal golongan ini yang selalu merasa keperitan inflasi.

Oleh itu, PR akan berusaha untuk menangani jurang kesedaran itu dengan menunjukkan bagaimana himpitan harga tinggi sekarang dan selepas GST adalah kesinambungan daripada undi yang diberi oleh orang kampung kepada BN.

Pada masa sama, PR akan menawarkan rancangan bagaimana ia akan menangani inflasi. Ini seperti mengkaji semula perjanjian lebuh raya dan penjanaan kuasa bagi menurunkan harga tol dan tarif elektrik.

Melalui pendekatan inilah PR berjaya meraih undi daripada Melayu-Islam bandar di dalam Pilihan Raya Uum 2013 iaitu menunjukkan bagaimana seorang pengundi mempengaruhi pembentukan sebuah dasar dan dasar itu datang kembali dan memberi impak kepada kehidupan pengundi itu.
“Kita mahu lahirkan pengundi yang cerdik. Seperti di kawasan bandar di mana mesej kita sampai melalui internet. Ini supaya emosi itu bertahan lama dan membawa kepada kesedaran dan ia diterjemahkan di peti undi.

“Kesedaran ini yang kita mahu, supaya bila dapat BR1M banyak mana pun, pengundi tetap buat pilihan yang betul,” katanya

Tiada ulasan: