Jumaat, 13 Disember 2013

DAP cabar Muhyiddin buktikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia menjelang 2021

lks deepavali


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya mengambil peluang merasmikan laporan “Malaysia Economic Monitor: High Performing Education” oleh Bank Dunia, di sini, kelmarin, bukannya terus ‘membisu’ mengenai prestasi buruk Malaysia dalam Programme for International Student Assessment (PISA) 2012.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata Muhyiddin tidak sepatutnya menyerahkan tugas merasmikan laporan itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar jika beliau mahu meyakinkan rakyat bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia adalah usaha serius dan bukti komitmen kerajaan menjadikan sistem pendidikan negara ini bertaraf dunia menjelang 2021.

Katanya, isu kemerosotan tahap pendidikan Malaysia kini menjadi subjek yang tabu Muhyiddin yang tidak mahu bercakap bila ditanya mengenainya, khusus rentetan dua peristiwa dalam bulan ini.

Beliau berkata, dua peristiwa itu menonjolkan hakikat menyedihkan bahawa sistem pendidikan Malaysia sedang berdepan krisis keyakinan dan tidak mampu mencapai mutu pendidikan yang diperlukan untuk memupuk pekerja yang berkemahiran, bersemangat menambah ilmu dan berdaya cipta bagi membolehkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan mencapai cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Dua peristiwa yang dimaksudkan adalah pengumuman keputusan PISA 2012 pada 3 Disember lalu iaitu minggu berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO dan pelancaran rasmi laporan Malaysian Economic Monitor yang diterbitkan Bank Dunia dengan tema “High-Performing Education”.

“Hakikatnya, laporan Bank Dunia itu bukannya mengenai pendidikan berprestasi tinggi Malaysia, sebaliknya mengenai bagaimana Malaysia gagal membentuk satu sistem pendidikan berprestasi tinggi berasaskan pencapaian buruk Malaysia dalam dua ujian penilaian pendidikan antarabangsa iaitu Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 di mana Malaysia mencatatkan mata jauh lebih rendah daripada yang diperolehnya pada 2003 dan 2007 bagi subjek Matematik dan Sains, dan PISA 2012 di mana mata untuk Sains dan Bacaan merosot berbanding 2010 walaupun ada peningkatan mata bagi subjek Matematik,” katanya dalam kenyataan media.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, mengikut laporan Bank Dunia, di kalangan negara Asia Timur menyertai dalam PISA 2012, pelajar Malaysia hanya mengatasi pelajar Indonesia dan ketinggalan berbanding negara berpendapatan rendah, termasuk Vietnam, dengan perbezaan mata yang besar.

Katanya, prestasi Malaysia mengikut penanda aras pendidikan antarabangsa ini mengaibkan jika diambil kira tahap pendapatan per kapitanya atau kadar perbelanjaan untuk pendidikannya, apatah lagi kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara berpendapatan tinggi yang kita anggap pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan.

“Walaupun Muhyiddin dan Kementerian Pendidikan menerima kritikan hebat sejak 3 Disember lalu, bagi kelmarin mengumumkan menerusi media bahawa Kementerian Pendidikan membentuk satu jawatankuasa khas bagi meningkatkan tahap pelajar Malaysia dalam PISA.

“Namun luahan hampa boleh didengar di seluruh negara berikutan pengumuman itu kerana Malaysia tidak perlukan jawapan basi seperti pembentukan jawatankuasa yang tidak bertaring mengenai kemerosoton tahap pendidikan, sebaliknya negara ini perlukan reaksi yang inovatif, terutama bagi memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi seperti mengumumkan secara terbuka markah lulus peperiksaan awam dan seterusnya membenarkan ibu bapa untuk lebih terbabit dalam pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, antaranya membiarkan mereka memutuskan sama ada menerima atau menolak PPSMI.

“Respon kepada keputusan PISA 2012, Kementerian Pendidikan menyatakan walaupun keputusan itu tidak begitu memberansangkan, kementerian percaya Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dilancarkan 6 September lalu,” katanya.

Menurut Kit Siang, kenyataan itu membuktikan mereka tidak tahu kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerana yang hendak dicapai bukan memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 tetapi untuk keluar daripada kelompok sepertiga tercorot serta mencapai tahap purata antarabangsa dalam PISA 2015 dan 2018 dan seterusnya menduduki tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021.-Roketkini.com

Tiada ulasan: