Khamis, 12 Disember 2013

CEC tidak diiktiraf, DAP cadang seret ROS ke mahkamah

anthony loke


KUALA LUMPUR: Pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) nampaknya begitu taat kepada perintah politik apabila terus giat menyerang Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Kali ini, ROS menasihatkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP supaya tidak membuat sebarang keputusan sehingga ROS selesai melakukan siasatan dan mengiktiraf pemilihan semula yang dijalankan pada Kongres Khas akhir September lalu.

Dalam satu surat yang diterima Ibu Pejabat DAP semalam, ROS menyatakan bahawa ia memerlukan pelbagai dokumen bagi meneruskan ‘siasatan’ terhadap DAP selain memberitahu CEC yang baru dibentuk bahawa pemilihan semula itu masih tidak diiktiraf.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook pada sidang media di Ibu Pejabat parti itu memberitahu bahawa permintaan dokumen oleh ROS itu tidak pernah terjadi dalam sejarah sejak penubuhan DAP.

Malah, menurut beliau, walaupun DAP bersedia memberi kerjasama bagi memenuhi permintaan ROS itu, parti itu juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret ROS ke mahkamah bagi membantah tindakan yang bermotifkan politik dan tidak masuk akal.

Anthony berkata, saranan supaya CEC tidak membuat sebarang keputusan itu tidak boleh diterima sama sekali kerana parti tidak mungkin boleh beroperasi dalam keadaan digantung tidak bertali.

“Adakah ahli CEC sampai tidak boleh menduduki Ibu Pejabat? Adakah Bendahari tidak boleh tandatangan cek untuk bayar gaji kakitangan?” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Seremban.

Beliau turut membidas ROS dan menyoal sama ada United Malays National Organisation (UMNO) yang baru sahaja selesai pemilihan turut dikenakan layanan yang serupa sepertimana ROS melayan DAP.

“Adakah ROS akan menyuruh UMNO memberi salinan keseluruhan perwakilan yang hadir mengundi sebelum mengiktiraf Jawatankuasa Tertinggi UMNO?” soalnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: