Selasa, 10 Disember 2013

Bantuan bencana alam masuk poket siapa?

HAMBALI AKRAM


Yang terbaharu, Khazanah Nasional Berhad akan menyumbang RM10 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara. Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada majlis perasmian Hotel Traders, Puteri Harbour.

Sebelum ini sudah beberapa syarikat korporat yang turut menyumbang untuk membantu mangsa banjir. Sehingga kini belum ada jumlah rasmi keseluruhan sumbangan ini. Saya percaya jumlah yang diterima tentunya besar, maklumlah keuntungan tahunan syarikat-syarikat ini bukan sedikit jumlahnya. Malah TNB juga memperoleh berbillion ringgit.

Namun, saya sedikit musykil tentang dana yang dikumpulkan ini. Setiap kali kali berlaku bencana alam – banjir, tanah runtuh dan sebagainya – bantuan yang diterima berjumlah jutaan ringgit. Namun soal pengagihan tidak pernah didedahkan kepada umum.

Sebagai contoh kejadian banjir yang berlaku sekarang, dari segi bantuan masih jauh daripada mencapai tahap terbaik. Sedangkan sumbangan yang di terima oleh kerajaan begitu banyak. Namun yang kelihatan terkehadapan dalam membantu mangsa banjir ialah sukarelawan badan bukan kerajaan dan individu tertentu.

Apakah pemimpin kerajaan khususnya dari Umno-BN masih dibuai mimpi dan lena tertidur dalam kesejukan? Saya bimbang, pengumuman sumbangan yang berjuta ringgit ini hanyalah mainan untuk menyejukkan bahang kemarahan mangsa banjir?

Yang lebih mengharukan, kerajaan  mengumumkan akan memberikan bantuan wang tunai sekitar RM500 kepada mereka yang layak. Sedangkan jika sebahagian wang tunai yang diderma dibahagikan kepada semua mangsa, mereka boleh menerima ribuan ringgit setiap orang!

Saya sebenarnya cuba mengelak bersangka buruk, namun agak sukar. Hal ini kerana, ke manakah baki wang bantuan tersebut disimpan? Atau masuk poket siapa?

Saya timbulkan isu ini kerana setiap kali berlaku bencana alam kita terpaksa bermula dari kosong semula. Sepatutnya kita telah ada tabungan atau lebihan dari kutipan sebelumnya dan boleh digunakan serta merta apabila berlaku bencana.

Tiada ulasan: