Selasa, 17 Disember 2013

Banjir gelombang kedua di Pahang dijangka esok


Muhammad Safian Ismail  
 Muhammad Safian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Banjir di Wisma Sri Pahang.


KUANTAN - Banjir gelombang kedua dijangka akan melanda tiga daerah di negeri menjelang esok hingga 22 Disember apabila hujan lebat luar biasa dikatakan akan berlaku.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, kerajaan negeri telah diarahkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk bersiap sedia menghadapi gelombang kedua ini agar segala urusan dapat dilaksanakan dengan baik.

Justeru, pihaknya akan meminda beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan mangsa banjir yang lebih efisien.

Menurutnya, pindaan SOP ini hanya akan dilaksanakan di daerah Kuantan sahaja, manakala bagi daerah Pekan dan Rompin, ia akan dijalankan seperti sebelum ini.

“Mangsa banjir sekitar Sungai Isap, Cenderawasih, Bukit Rangin dan Kampung Belukar akan ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Sekolah Kebangsaan Chung Ching, Wisma Belia dan Dewan Sukpa.

“Mereka akan dipindahkan oleh pihak berkuasa dengan lori ataupun bas untuk ditempatkan di pusat pemindahan tersebut.

“Segala urusan memberi bantuan serta  akan dilakukan oleh pihak sekolah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan petugas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), manakala kepimpinan atau NGO kawasan hanya bertindak sebagai pembantu sahaja.

“Urusan memasak  pula akan dilaksanakan oleh ATM dan pihak kantin sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Banjir di Wisma Sri Pahang di sini.

Sementara itu, beliau menegaskan bekalan makanan untuk mangsa banjir juga mencukupi dan akan diagihkan terus ke pusat pemindahan oleh pihak berkuasa.

Tiada ulasan: