Ahad, 1 Disember 2013

Abang: Kazim sudah keluar PAS

MALAYSIA KINI
 
 
 
Abang kepada penceramah bebas Mohammad Kazim Elias berkata, adiknya itu yang dilantik ke jawatan anggota majlis tertinggi Umno telahpun keluar dari parti PAS.

Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias yang juga pegawai penerangan agama di Pejabat Menteri Besar Perak berkata, Mohammad Kazim sebelum ini sememangnya menganggotai PAS.

ustaz mohammad kazim eliasMohd Najmuddin dalam laporan Sinar Harian hari ini menyebut, Mohammd Kazim menyertai parti Islam tersebut 15 tahun lalu, tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar penyertaan adiknya itu ke dalam Umno.

Laporan itu selanjutnya menyebut, Mohd Najmuddin kurang bersetuju kerana pelantikan tersebut “menguntungkan sebelah pihak” sahaja.

Sedangkan, Mohammad Kazim, 41, boleh menyebar ilmu Islam dengan lebih meluas tanpa jawatan seperti itu, katanya.

“Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Presiden parti Datuk Seri Najib Razak malah boleh melantik Mohammad Kazim ke dalam kerajaan supaya adiknya itu boleh berdakwah tanpa pertentangan prinsip, katanya lagi.

Seorang lagi adik Mohd Najmuddin ialah ADUN Kubu Gajah Ahmad Hasbullah.

Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Ahmad Iskandar semalam mendakwa Umno tidak menyedari bahawa Mohammad Kazim Elias merupakan ahli PAS sejak 1998.

"Dewan Pemuda PAS Perak ingin membuat pengesahan bahawa Mohammad Kazim adalah ahli PAS semenjak 17 Julai 1998 dengan nombor keahliannya 0475276 di bawah cawangan Kampung Manjoi PAS di Tambun," katanya.

Tiada ulasan: