Rabu, 31 Oktober 2012

Jelajah bongkar skandal Scorpene ke Johor

Harakahdaily,
 
KUALA LUMPUR: Siri jelajah membongkar rahsia pembelian Scorpene anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan diteruskan ke Johor, 4 November ini.

Ceramah Perdana Jelajah “Le Tour De Scorpene” Zon Selatan akan diadakan di Perkarangan Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Pasir Gudang, Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang bermula jam 9 malam.

Selain Penyelaras SAMM, Badrulhisham Shahrin, ceramah akan turut menampilkan tokoh politik anak muda iaitu Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiyat, Ketua Pemuda DAP Johor, Tan Hong Pin dan Penyelaras Parlimen PKR MuarPenyelaras Parlimen PKR Muar, Nor Hizwan Ahmad.

Mereka akan duduk sepentas dengan Pengerusi PKR Negeri Johor, Chua Jui Meng, Pengerusi Eksekutif Suaram, Cynthia Gabriel dan peguam Suaram, Fadiah Nadwa Fikri.

Sebelum itu, pada sebelah petangnya,  akan diadakan taklimat tertutup yang dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Taklimat yang bermula jam 2 petang di Pejabat Majlis Pimpinan PKR Negeri, Bandar Baru Uda itu menyasarkan sekurang-kurangnya 250 penceramah sekitar Johor yang akan menguasai isu ini.

Taklimat akan menggunakan video untuk mendedahkan semua fakta dan dokumen berkaitan manakala semua peserta akan mendapat kit ceramah lengkap mengenai isu ini yang mengandungi fakta serta bahan bukti bagi membolehkan mereka menerangkan kepada orang ramai.

Soi Lek: Pemuda PAS rancang mengadap Agong

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan, sudah sampai masanya untuk Yang di-Pertuan Agong mengetahui tindakan MCA yang berulang kali telah menghina Islam selaku agama rasmi di dalam Perlembagaan Malaysia.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata isu penghinaan berulang kali yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam serta perundangannya bukan satu perkara baru.

Ekoran itu, katanya pada 24 Oktober lalu, DPPM telah menyerahkan satu memorandum kepada Chua Soi Lek yang memintanya untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang menghina hudud.

Namun, ujarnya DPPM merasakan memorandum yang dihantar seakan-akan ‘dibakulsampahkan’ oleh Chua dan pimpinan MCA.

Di dalam memorandum tersebut, jelasnya DPPM telah memberikan tempoh kepada Chua selama seminggu untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang menghina hudud.

“Dengan ini Dewan Pemuda PAS Malaysia memaklumkan bahawa tempoh yang diberikan telah tamat.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia kini sedang mengatur satu gerakkan himpunan besar-besaran ke Istana Negara dan berusaha untuk menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya DPPM merancang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan aduan itu dalam masa yang terdekat sejurus selepas baginda berangkat pulang daripada menunaikan fardu haji.

PAS N9 siap sedia terima peserta Himpunan Rakyat

Harakahdaily,
 
SEREMBAN: PAS Negeri Sembilan mengalu-alukan kedatangan semua ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat ke negeri ini sempena program Pelancaran Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad berkata dua lokasi berkumpul telah disediakan iaitu di Markaz MTD DUN Chembong, Kampung Mulia dan Markaz PR DUN Seri Menanti, Terachi yang akan dibuka bermula jam 3 petang.

"Bagi memudahkan perjalanan, semua ahli dan penyokong PAS digalakkan hadir secara berkonvoi.

"Berkenaan dengan kemudahan lokasi, boleh menggunakan lebuhraya PLUS susur keluar (exit) Senawang manakala stesyen komuter yang terdekat ialah Stesyen Komuter Sungai Gadut yang jaraknya ke lokasi program 1.5 kilometer," katanya.

Himpunan yang akan di adakan di Taman Seremban Jaya, Seremban itu akan bermula jam 4 petang sehingga 12 tengah malam.

Program tersebut akan dihadiri oleh semua kepimpinan utama Pakatan Rakyat antaranya termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Dijangka lebih 50,000 ahli, penyokong dan rakyat tempatan hadir ke program itu nanti.

Sementara itu juga, PAS Negeri Sembilan akan mengadakan ceramah mobilasi di beberapa kawasan sebagai persediaan menjelang himpunan itu nanti.

Kawasan ceramah tersebut seperti berikut:

1) 31 Oktober 2012 - 9 Malam - Pasti Al-Hasanah, Bandar Seremban Selatan (YB Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard Samm, Fareedah Samad, Tuan Speaker)

2) 31 Oktober 2012 - 9 malam - Pasti al-Mawaddah Warisan Puteri, Seremban ( YB Wilfried Bumbering (MP Tuaran) , YB Ahmad Kasim (MP Kuala Kedah) YB John Fernandaz (MP Seremban) YB Loke (MP Rasah) YB Aminuddin (ADUN Sikamat)

3) 1 November 2012 - 9 Malam - Kampung Gedok, Gemencheh, Tampin (Yb Mohd Taufek Abd Ghani, Che'GuBard, Bob Lokman, Yb Veerapan (ADUN Repah)

4) 1 November 2012 - 9 Malam - Markaz MTD Labu, Sepang Road, Jalan Salak, Nilai (Ybhg Tuan Haji Mohamad Sabu, Ustaz Mohd Khairil Wafa, Nazree Yunus, YB Cha Kee Cin (ADUN Kepayang)

5) 1 November 2012 - 9 Malam - Muassasah Darus Syarif, Jalan Batui Kikir-Bahau, Jempol (YB Siti Zailah (MP Rantau Panjang) Aishah (artis) Aiman Athirah , Kumuta , Fareedah Samad)

Kerjasama Honda – Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar….

 Staff Berita Semasa
 
Honda Proton DRB Hicom Kerjasama Honda   Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar....

Kalau sebelum ini, Proton (Proton Holdings Berhad) pernah bekerjasama dengan Mitsubishi di awal kemunculannya dahulu, dan kerjasama tersebut terhenti sekejap sebelum Proton menyambungnya kembali sehingga lahirnya model Proton Inspira yang diasaskan daripada model Lancer GT pada penghujung 2010.

Tetapi…

Tetapi…..Kerjasama Proton dengan Mitsubishi tidak boleh terus disamakan dengan apa yang dilaporkan dikebanyakan berita baru-baru di mana akan berlakunya kerjasama antara Proton dan Honda. Hakikatnya, Mitsubishi hanyalah “small player” yang mana mereka belum ada tapak di Malaysia. Pengikut & pelanggan mereka mungkin ada tetapi tidak segah Honda & Toyota di Malaysia. Itu sebablah lahir kerjasama Mitsubishi dengan Proton, sekurang-kurangnya mereka dapat “sesuatu” apabila bekerjasama dengan pembuat kereta tempatan seperti Proton.

DRB Hicom Proton 150x150 Kerjasama Honda   Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar....
 Kuala Lumpur: Gergasi automotif Jepun, Honda Motor Co. Ltd (Honda Motor) dipilih DRB-Hicom Bhd sebagai rakan strategik asing untuk anak syarikatnya, Proton Holdings Bhd.
DRB-Hicom, dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia berkata, satu Perjanjian Kerjasama membabitkan Proton Holdings dan Honda Motor sudah dimeterai. Konglomerat itu berkata, perjanjian berkenaan membolehkan Proton Holdings dan Honda Motor meneroka peluang kerjasama dalam empat bidang utama dalam industri automotif, iaitu peningkatan teknologi, pengenalan barisan produk baru, perkongsian platform dan juga kemudahan pengeluaran.
Memiliki kerjasama dengan peserta automotif global yang kuat dan terkenal seperti Honda Motor sebagai rakan kongsi strategik asing akan memberi kelebihan kepada Proton Holdings serta Kumpulan DRB-HICOM dengan potensi untuk berkembang sebagai pengeluar peralatan tulen (OEM).
Kerjasama ini akan memberikan kesan positif kepada Proton Holdings dan Kumpulan DRB-Hicom untuk jangka panjang, katanya. DRB-Hicom berkata, perjanjian kerjasama berkenaan akan berkuat kuasa sehinggalah tertubuhnya pelaksanaan Perjanjian Muktamad.
Senario yang berlaku antara Mitsubishi-Proton sememangnya tidak sama dengan apa yang diwar-warkan baru-baru ini melibatkan apa yang dikatakan kerjasama rakan strategik antara Proton-Honda. Persoalannya di sini…
  • Mahukah Honda berkongsi platform dengan “small player” ataupun ikan kecil dalam industri automotif seperti Proton?
  • Jikalau sama-sama “big player”, semestinya banyak untung yang diperolehi oleh kedua-dua pihak baik Honda mahupun “ikan jerung” yang satu lagi disebabkan mampu hasilkan model untuk skala yang besar ke seluruh dunia.
  • Jadi apa yang Honda dapat daripada Proton sebenarnya?
Honda Proton  Kerjasama Honda   Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar....

Ya…benar. Untuk buat & hasilkan kereta Honda mereka, agak logik untuk JV dengan DRB bagi menggunapakai kemudahan di Tanjung Malim. Tetapi untuk JV dengan Proton, buat model baru dengan platform Honda Accord contohnya……..untuk apa Honda buat begitu? Tiada untung pun. Syarikat besar seperti Honda lebih mengutamakan pengeluaran secara besar-besaran, tiada “scale model” yang kecil untuk “niche market” seperti Malaysia.
  • Satu lagi, HONDA MALAYSIA tiada sebab pun untuk rebadge Honda Accord mereka contohnya.
  • Hakikatnya, Honda tidak pernah rebadge kereta mereka kerana Honda (mengikut sejarah) tidak akan rebadge model mereka dan letak lambang Proton contohnya.
  • Honda dikenali sangat kedekut untuk “transfer knowledge”
  • Kalau sudah bekerjasama dengan Honda, tetapi buat kereta Honda, di mana peranan Proton sebagai pembuat keretanya terutamanya dalam kerjasama ini?
Kami pasti dan yakin ramai yang teruja dengan pengumuman ini. Oleh itu, kita ketepikan seketika pengumuman daripada laporan akhbar mengenai hubungan kerjasama strategik ini. Mereka boleh umum “bulan dan bintang” tetapi kita mesti bersandarkan kepada fakta  di mana :
Kami lebih suka bercakap berdasarkan kajian dan realiti …
  • Kami rasa kebanyakannya tahu bagaimana Honda buat bisnes di seluruh dunia, di mana mereka mampu membuat pengeluaran kereta yang jauh lebih besar ke seluruh dunia, jauh lebih besar daripada Proton.
  • Oleh itu, berikan satu contoh HONDA pernah “joint venture (JV)” dengan “small player” bagi menghasilkan bilangan pengeluaran yang kecil dan rendah?
  • Ada atau tiada?
Honda Melaka Malaysia Kerjasama Honda   Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar....

Buat apa, Honda nak besarkan kilang mereka di Melaka. Lebih baik, mereka gunakan kemudahan di Tanjung Malim yang hanya 30% beroperasi.
Apa yang dikatakan kerjasama ini hanya akan untungkan DRB-HICOM & juga Honda yang akan menggunakan guna kemudahan di Tanjung Malim bagi menghasilkan model Honda. Proton? Ehemm…..
Itu sebabnya, banyak beza apabila Proton yang boleh dikatakan berada di landasan yang betul sebelum ini sebagai pembuat kereta, berbanding dengan mereka yang hanya mengeluarkan peralatan OEM. Dalam industri automotif, adalah amat tidak efisien dan membazir bagi pengeluar kereta menumpukan untuk buat peralatan OEM sendiri tanpa “outsource” kerja tersebut kepada syarikat luar.
Sangat sangat sangat malang bagi PROTON dan seluruh rakyat Malaysia jikalau segala pelaburan dan harapan selama ini berakhir dengan hanya sekadar menjadi pengeluar tulen OEM (buat spare part/alat ganti honda seperti oil filter, timing belt, dll). Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan setakat pada tahun 1995, kerajaan Malaysia telah menyalurkan subsidi sekitar RM17 bilion kepada Proton.
Oleh itu, kami dapat merasakan, halatuju Proton selepas ini adalah “rebadge, rebadge dan hanya menjadi pengeluar peralatan OEM semata. Bukan lagi, gelaran “pembuat kereta” selepas ini….
Tanjung Malim DRB Hicom Kerjasama Honda   Proton. Proton Rugi. Ikan Jerung (Honda & DRB Hicom) Yang Untung Besar....

Untuk menjadikan Proton maju, bukan dengan cara dengan downgrade menjadi pengilang OEM (original equipment manufacturer). Seperti yang kami katakan di atas tadi, rancangan DRB-HICOM bukan untuk menaikkan Proton tetapi lebih kepada menguntungkan DRB Hicom secara keseluruhannya. Menjadikan Proton sebagai hamba untuk menaikkan bisnes DRB-HICOM yang sedia ada.
  1. Pertama : DRB HICOM telah juga mengumumkan pelan pembangunan hartanah “ kilang Proton Shah Alam” pada skala RM5 billion lebih! DRB Hicom untung banyak di situ di atas pelaburan mereka membeli Proton & memindahkannya ke Tanjung Malim. Di mana rancangan mereka untuk naikkan Proton?
  2. Kedua : JV (sebenarnya bukannya JV pun sebab DRB Hicom memang memegang franchise Honda Malaysia) kononnya untuk kebaikan Proton. Sedangkan mereka mahu buat peralatan tulen OEM untuk Honda dan bolot semua pembekal peralatan & komponen Proton sebelum ini secara terhormat. Dan kami ulangi sekali lagi, di mana usaha DRB Hicom untuk menaikkan Proton?
  3. Ketiga : Jikalau mereka serius nak majukan Proton, mereka tidak akan batalkan semua projek R&D Proton (benda yang pertama mereka buat) masa mereka mula-mula ambil alih Proton!.
  4. Mana-mana pembuat kereta tahu untuk mengeluarkan kereta bermula dari scratch memerlukan masa 3-5 tahun barulah boleh keluarkan dalam skala besar. Kalau R&D yang dah dibuat 5-10 tahun lepas dibatalkan, maka apa produk yang PROTON nak keluar untuk 5 tahun akan datang? Jikalau nak keluar rebadge sekalipun perlu 2-3 tahun baru boleh “roll out finish product”
Pasaran & jualan produk Proton is tidak cukup untuk mengekalkan cengkaman mereka dalam industri automotif. Letaklah enjin F1 Petronas sekalipun, apatah lagi apabila AFTA bakal dilaksnakan kelak. Bagi kami pemilihan Honda sebagai rakan JV amat tidak tepat kerana ianya hanya akan meranapkan Proton dengan lebih cepat.

Sekadar pandangan daripada kami. Mungkin anda ada pandangan yang berbeza dengan kami. Respon anda pula dengan berita pengumuman ini?

Selasa, 30 Oktober 2012

Pemuda PAS pelawa Pemuda BN sertai laporan ke SPRM

 Oleh IZWAN ABDUL HALIM
ALOR SETAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dan ‘projek sakit’ yang pernah berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah semasa pemerintahan BN.

Ketuanya, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, laporan penyelewengan itu akan dibuat sebagaimana pendedahan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Mereka yang terlibat mesti bertanggung jawab dan bersedia untuk disiasat serta didakwa sekiranya didapati bersalah.

“Kami komited menyatakan bahawa kepentingan dan hak rakyat perlu sentiasa dipertahankan serta diurus tadbir sebagai amanah terutamanya oleh kerajaan yang diberi kepercayaan memerintah.

“Penyelewengan tersebut merupakan pengkhianatan terhadap amanah rakyat oleh mereka yang telah lebih 50 tahun diberi kepercayaan mentadbir negeri ini,” luahnya kesal.

Menurut beliau, rakyat negeri ini hakikatnya telah menanggung beban apabila kepimpinan lalu turut ‘mewariskan’ hutang berbilion ringgit.

Kini katanya, penyelewengan dan ‘projek sakit’ berkenaan pula menjadi ‘biawak hidup’ yang terpaksa ditanggung akibatnya.

Beliau turut mempelawa Pemuda BN Kedah untuk bersama membuat laporan tersebut.

“Sebagai pewaris masa hadapan dan pembelaan terhadap kepentingan rakyat serta demi negeri Kedah yang dicintai ini, kami mempelawa Pemuda BN untuk turut serta.

“Kita (pemuda) tidak harus berdiam diri agar penyelewengan dan salah urus tadbir seperti ini dapat dihentikan dari terus berulang serta menjadi pengajaran kepada mereka yang berwewenangan terhadap amanah rakyat,” seru Ahmad.

Ahli-ahli Majlis Buat Laporan Polis 2 Ke Atas Datuk Rasli ?

Oleh : KUNING77

ALOR SETAR – Ahli-ahli majlis PBT Kedah (lantikan politik) akan membuat laporan polis yang kedua pada minggu ini berhubung isu permohonan tanah oleh syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd. di kawasan Bandar Kuah, Langkawi.

Menurut Ir Mohd Jamal Nasir, Ahli Jawatankuasa Sekretariat Ahli-Ahli Majlis PBT Kedah (KLCS), pihak akan membuat laporan polis kedua ke atas Datuk Rasli pada Khamis ini.

Katanya, kali ini pihaknya akan membuat laporan berhubung isu permohonan sebidang tanah oleh syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd. di Lot PT. 1501, Sekyen 6 di kawasan Bandar Kuah, Langkawai Kedah Darul Aman, dimana syarikat berkenaan didakwa mempunyai hubungan keluarga rapat dengan Datuk Rasli sendiri.

Sumber dari Pejabat Tanah Langkawi, anggaran keluasan tanah tersebut ialah 1817 meter persegi (19,558 kaki persegi), dianggarkan bernilai hampir RM 1 juta. Tanah berkenaan adalah tanah bandar, Luar Simpanan Melayu berada di kawasan perkhidmatan Majlis Perbandaran Langkawi, ia terletak bertumpu dengan lot-lot hakmilik bersebelahan dengan Hotel Grand Continental, Langkawi.

Mohd Jamal berkata, tujuan laporan ini untuk membolehkan pihak polis membuat siasatan sejauh mana penglibatan dan penyalahgunaan kuasa oleh Datuk Rasli sebagai Setiausaha Kerajaan dan pihak-pihak lain di dalam isu ini. Ini kerana, kami mendapati terdapat kecurigaan dan manipulasi kuasa oleh pihak berkenaan tentang proses permohonan tanah tersebut.

Katanya, dakwaan kami berasaskan beberapa dokumen berkaitan permohonan tersebut, akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Berdasarkan kefahaman kami bahawa ia menjurus kepada penyalahgunaan kuasa dan manipulasi di atas kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan”.

“Difahamkan Bahagian Pembangunan dan Penguatkuasaan, Tanah dan Galian Negeri Kedah terlibat menyediakan kertas kerja tujuan untuk pertimbangan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MKK), katanya.

Maksud kertas kerja ialah mendapatkan kelulusan exco ke atas permohonan tanah tersebut untuk tujuan tapak kediaman kakitangan syarikat Tirai Sutera (M) Sdn.Bhd.

Namun, terserahlah kepada pihak polis untuk mengklasifikasi laporan kami di bawah kesalahan jenis apa… tanggungjawab kami membuat laporan supaya boleh dibuat siasatan, katanya lagi.

Katanya lagi, sekiranya Datuk Rasli melakukan penyalahgunaan kuasa dan perlanggaran mana-mana undang-undang berkaitan kedudukannya, maka tindakan undang-undang hendaklah di ambil ke atasnya bersesuian dengan undang-undang yang berjalan di Malaysia, sekali gus ia akan menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya menjalankan tugas dengan amanah, telus dan beretika.

Sebelum ini, seramai 11 orang ahli-ahli majlis PBT Kedah telah membuat laporan polis berhubung isu Pulau Bumbun Besar, Langkawi yang didakwa berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Datuk Rasli.Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah (kelmarin) telah menyangkal dakwaan tersebut kerana fakta tidak tepat.

Petronas Carigali Temui Medan Minyak Bertam - PM

MSTAR ONLINE
 
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa mengumumkan Petronas Carigali Sdn Bhd dan Lundin Oil menemui rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, yang terletak di Blok PM 307.

Beliau berkata medan minyak yang terletak kira-kira 160km di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia bertentangan Pahang, pada kedalaman air 76 meter.

"Penemuan ini sangat penting memandangkan kita belum pernah menemui minyak komersil dalam kuantiti yang tinggi di Lembangan Penyu, dan ia merupakan kejayaan besar.

"Bergantung kepada keputusan kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersil, pengeluaran minyak dijangka akan dicapai pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 dan 20,000 tong sehari," kata Najibpada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaksanaan Bioteknologi (ICM) di pejabat Perdana Menteri nya di Bangunan Perdana Putra di sini Selasa.

Dengan penambahan rizab ini, medan minyak Bertam kini dianggarkan mengandungi jumlah isi padu asal keseluruhan 64 juta tong.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata negeri Pahang dijangka menerima wang ehsan sekitar RM100 juta setahun, bergantung kepada anggaran pengeluaran, apabila pengeluaran bermula pada suku ketiga tahun 2014.

Beliau berkata penemuan ini membuktikan kewujudan minyak dan gas di kawasan selatan Malay Basin ke arah Lembangan Penyu.

"Oleh itu, medan minyak tersebut adalah terletak di kawasan pelantar benua iaitu melepas tiga batu, dan terletak dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Ini dasar kita untuk mengagihkan kekayaan minyak dengan lima peratus pembayaran tunai kepada Pahang," katanya.

Petronas Carigali, anak syarikat Petronas dan Lundin Oil merupakan usaha sama minyak dan gas atau Kontrak Perkongsian Pengeluaran.

Sementara itu, Naib Presiden Perniagaan Eksplorasi dan Pengeluaran, Pengurusan Petroleum Petronas Nasional Bhd, Ramlan A Malek berkata kajian kebolehlaksanaan teknikal dan komersial dijangka siap pada suku kedua tahun depan.

Kerja-kerja cari gali akan dilaksanakan oleh operator blok, Lundin Oil, katanya. - BERNAMA

Pemberi Maklumat Isu PFN Tidak Dilindungi WPA



KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) yang diwujudkan bagi melindungi pemberi maklumat dalam isu rasuah tidak terpakai dalam kes berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk memberikan perlindungan kepada pihak terbabit kerana dalam kes PFN, perkara itu telah dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.
"Semua orang tahu itu dia, apa lagi perlindungan yang dia mahu," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Nazri yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen berkata akta itu hanya melindungi pemberi maklumat dan bukannya pihak yang melanggar undang-undang, seperti Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu kenapa pihak yang mendedahkan salah laku dalam projek lembu itu tidak diberi perlindungan undang-undang.

WPA merupakan satu inisiatif perundangan utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwujudkan bagi menangani rasuah, akan mula berkuatkuasa 15 Disember 2010.

Ogos lalu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Fidlot Corporation (NFCorp).

Rafizi didakwa di bawah Bafia atas kesalahan mendedahkan maklumat sulit dan rahsia perbankan NFCorp milik pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sumbangan RM1,000 Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen Dibayar Januari 2013

MSTAR ONLINE

SIBU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin melancarkan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M) pada majlis makan malam Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di sini.

Bercakap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus kepada 234,500 veteran ATM terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat seluruh negara.

"STB1M yang akan dibayar mulai Januari 2013 akan melibatkan peruntukkan kewangan sebanyak RM234.5 juta. Kos ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT)" katanya.

Penerima atau veteran ini adalah mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun yang bersara awal dan tidak berpencen, yang telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, sementara tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012.

"Mereka yang layak adalah daripada angkatan tetap ATM, angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, daripada Force 136, tentera British yang berkhidmat di Malaya/Malaysia atau Singapura dan daripada Sarawak Rangers," katanya.

Sumbangan ini, yang merupakan rentetan daripada pembentangan Belanjawan 2013, bagaimanapun tidak dipanjangkan kepada balu, duda atau tanggungan, kata Zahid.

Beliau berkata bakal penerima boleh mendapatkan borang STB1M di semua pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) seluruh negara mulai 1 Nov 2012.

"Borang ini juga boleh didapati di 78 buah Pusat Sehenti yang terdiri daripada kem/unit tentera terpilih di seluruh negara atau dimuat turun melalui laman sesawang JHEV iaitu www.jhev.gov.my

"Semua persatuan/pertubuhan/kelab bekas tentera di seluruh negara turut akan dibekalkan dengan borang ini yang mesti dikembalikan bersama dokumen yang diperlukan ke mana-mana pejabat JHEV atau Pusat Sehenti sebelum 30 Nov 2012," katanya.

Pada majlis makan malam itu sebanyak RM133,000 berjaya dikutip daripada para dermawan yang hadir bagi menambah kutipan sebelumnya sebanyak RM130,000.

Zahid menghulurkan sebanyak RM25,000, sementara anggota Parlimen kawasan Lanang Datuk Tiong Thai King menghulurkan RM38,000 bagi tujuan persatuan negeri ini membeli bangunannya sendiri.

Thomas Ling Kui Eng, naib presiden Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Kebangsaan dan juga Yang Dipertua cawangannya di Sarawak merangkap presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak, menjadi hos majlis. - BERNAMA

Lagi Petani Tanjong Karang Berdemo Bantah Subsidi Benih Padi Tidak Berkualiti




TANJONG KARANG : Petani di kawasan Tanjong Karang dan Sekinchan berang dan membuat laporan polis terhadap tindakan Datuk Seri Noh Omar yang memberikan tender subsidi benih padi bernilai RM164.8 juta kepada pembekal yang tidak memenuhi kriteria.

Menurut Naib Penyelaras DUN Sungai Burong, Misran Serman, laporan polis itu dibuat bersama Loo Kim Yong dan S Ragavan semalam berikutan kemungkinan wujudnya penyelewengan mengenai agihan tender benih padi sah bagi tahun 2013 hingga 2014.



Katanya, benih yang diberikan kepada petani melalui subsidi Kerajaan Pusat itu kurang berkualiti dan menyebabkan benih padi yang akan ditanam itu tidak dapat hidup serta menyebabkan pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerugian besar ditanggung petani.

“Para petani merasa marah dan tidak berpuas hati kerana benih padi yang diberikan melalui subsidi ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos yang besar bagi mengelakkan padi diserang pelbagai penyakit ,” katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman di hadapan Pusat Pemprosesan Benih Padi di Sungai Burong pagi ini.

Sementara itu, demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 30 petani di kawasan itu menuntut penjelasan lanjut oleh Noh mengenai pemberian kuota subsidi yang hanya mementingkan kroni dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membela nasib golongan berkenaan.



Dalam pada itu, Adun Sekinchan, Ng Sui Lim mendakwa, Noh Omar memberikan lebih separuh kuota subsidi benih padi berjumlah 80,000 tan metrik kepada Syarikat Seri Merbak Sdn Bhd yang didakwa dimiliki oleh Datuk Rais Zainuddin iaitu bekas ahli Exco Negeri Sembilan dan Syarikat Haji Mohd Noor yang didakwa memiliki hubungan rapat dengan Noh.

“Syarikat ini memonopoli lebih daripada jumlah kuota keseluruhan dan memberikan benih padi berkualiti rendah dan seterusnya menyebabkan penghasilan padi rendah yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada petani,” katanya.



Sui Lim berkata, Noh Omar seharusnya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana mempunyai pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan serta gagal menjalankan tugasnya menjaga kebajikan rakyat khususnya para petani.

“Saya mendesak Noh Omar meletakkan jawatannya sebagai menteri kerana gagal membela nasib rakyat malah didakwa mempunyai pelbagai skandal seperti penjualan tanah di Tanjong Karang dan isu kolam udang yang didakwa dimilikinya,” katanya lagi.

Sebelum ini Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan isu mengenai pemberian tender benih padi kepada kroni itu sengaja dipolitikkan oleh pembangkang.