Sabtu, 5 Februari 2022

RUU antilompat parti, had penggal PM akan dibentang Mac?

 Athirah Huda Zalhe

Satu taklimat bersama MP didakwa diadakan pada 9 Februari ini

BANGI – Kerajaan dikhabarkan semakin bersedia untuk membentangkan rang undang-undang antilompat parti dan mengehadkan penggal bagi Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Portal Malaysiakini yang memetik sumber mendakwa, Putrajaya akan mengadakan satu taklimat serta perundingan mengenai rang undang-undang itu.

Sumber portal itu mendakwa, Ahli Parlimen telah dijemput menghadiri taklimat oleh Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 9 Februari ini di Parlimen.

“Kami menjangka akan terlibat dalam perkara dasar berhubung rang undang-undang antilompat parti dan rang undang-undang untuk mengehadkan penggal Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Kami juga mengharapkan untuk mendengar cadangan mengenai pindaan Perlembagaan selanjutnya,” kata sumber yang didakwa Ahli Parlimen tanpa namanya disiarkan.

Sumber terbabit juga mendakwa bahawa kerajaan kelihatan bersedia untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan pada bulan Mac.

Menurut portal Malaysiakini, sesi pada 9 Februari ini dipercayai yang kedua selepas taklimat pada 22 Disember tahun lalu.

Sejak memegang jawatan Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi telah mengadakan banyak sesi perbincangan mengenai perkara perundangan dengan Ahli Parlimen.

Undang-undang antilompat parti dan had penggal Perdana Menteri adalah syarat yang ditetapkan dalam memorandum persefahaman (MoU) Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH).

Tiada ulasan: