Khamis, 3 Februari 2022

PDRM cadang hukuman sebat kepada PATI

 Oleh YATIMIN ABDULLAH

Hazani (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Tangan Bersalaman di IPD Pasir Mas hari ini.

PASIR MAS – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia mengemukakan cadangan kepada pihak kerajaan agar mengenakan hukuman sebat kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap secara berulang ke negara ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Hazani Ghazali berkata, hukuman itu sebagai salah satu bentuk penjaran kepada kepada golongan berkenaan supaya tidak mengulangi kesilapan tersebut.

Menurutnya, selain itu, PDRM turut memburu warga tempatan yang menjadi dalang termasuk tekong darat membawa masuk PATI ke negara ini menggunakan pangkalan haram.

“Meskipun kawasan yang digunakam itu milik individu, namun kita tetap dikira ia sebagai pangkalan haram. Jika pemilik terlibat secara langsung, mereka sudah dikira sebagai tekong darat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Tangan Bersalaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Hazani turut menyampaikan sumbangan kepada sumbangan kepada keluarga angkat IPD Pasir Mas.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun dan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Dalam perkembangan lain, Hazani memberitahu, rondaan berkuda oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini dijangka akan bermula pada Mac ini.

Katanya, rondaan tersebut merupakan usaha memperkukuhkan lagi dalam usaha membendung kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya penyeludupan.

“Sebagai langkah awal, unit berkuda FRU akan turun ke kawasan sempadan di negeri ini untuk membuat tinjauan terlebih dahulu sebelum memulakan operasi.

“Menerusi maklumat yang diterima, kita akan membuat ketetapan berapa jumlah kekuatan anggota diperlukan untuk penugasan tersebut,” ujarnya. -K! ONLINE.

Tiada ulasan: