Rabu, 2 Februari 2022

Penghantar makanan kena samun warga asing

 Oleh Ruwaida Md Zain

Gambar hiasan
Gambar hiasan

SHAH ALAM: Seorang penghantar makanan disamun dua suspek bersenjata parang yang menunggang motosikal di Jalan 25/30, Taman Sri Muda Seksyen 25, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam kejadian itu, mangsa dipercayai dalam perjalanan membuat penghantaran makanan kepada pelanggan.

"Ketika kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, suspek menarik gelang emas di tangan mangsa wanita yang menunggang motosikal seorang diri.

"Siasatan mendapati, mangsa tidak dicederakan oleh suspek cuma terdapat sedikit kesan calar pada tangan kerana suspek menarik gelang itu.

"Susulan kejadian itu, mangsa yang berumur 29 tahun membuat laporan polis pada jam 10.03 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan mendapati, gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM1,800 itu disamun oleh dua lelaki disyaki warga asing.

"Suspek disyaki warganegara Indonesia, berbadan kurus menaiki motosikal Yamaha LC warna merah memakai topi keledar masing-masing warna biru dan merah.

"Suspek juga dipercayai memiliki parang yang disembunyikan di dalam bajunya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Katanya, polis sedang memburu suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes ini, boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Roshaza di talian 03-55202222," katanya

Tiada ulasan: