Khamis, 3 Februari 2022

Penternak ayam berdepan risiko gulung tikar

 Oleh KHAIRUL MOHD ALI

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR

JOHOR BAHRU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR mendakwa kegagalan kerajaan mengawal harga kos sehingga menyebabkan peningkatan harga ayam telah menyebabkan ramai penternak gulung tikar.

Ketuanya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, selain peningkatan harga dedak ayam, kejatuhan mata wang ringgit di peringkat antarabangsa turut menjadi faktor.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan penternak ayam terpaksa menghentikan operasi kerana tidak beroleh keuntungan ekoran situasi semasa.

“Majoriti penternak yang ditemui meminta kami menyuarakan kesukaran dihadapi mereka yang hanya mempunyai pilihan henti operasi atau berdepan kemungkinan terpaksa gulung tikar.

“Ini kerana kerajaan hanya menetapkan harga kawalan terhadap ayam segar tetapi tidak kepada kos disebaliknya melibatkan peningkatan harga logistik, harga pekerja dan paling utama, harga makanan ayam.

“Kejatuhan nilai mata wang ringgit di peringkat antarabangsa turut memainkan peranan dalam soal peningkatan kos menternak ayam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, di sini hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan telah berjaya mengurangkan kos ayam segar sebanyak 20 sen Isnin lalu bukanlah satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan.

“Persoalan semua pihak ketika ini adalah mengapa walaupun selepas sambutan perayaan telah berlalu, harga ayam masih terus mahal dan tidak kembali turun seperti dahulu.

“Adakah jumlah pengeluaran ayam tempatan ketika ini meningkat atau semakin berkurangan sehingga menyebabkan permintaannya semakin tinggi dalam pasaran,” soalnya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: