Rabu, 2 Februari 2022

'Sekolah jalanan' anak miskin

KOTA KINABALU: Berasaskan pegangan pendidikan untuk semua, seorang anak muda Mukmin Nantang, 28, mengambil inisiatif membina 'sekolah jalanan' bagi memberi peluang kepada kanak-kanak miskin menerima pelajaran.

Mukmin lulusan Universiti Malaysia Sabah (UMS), mengasaskan Borneo Komrad sejak 2015 yang mana ideanya itu bermula ketika beliau masih menuntut di universiti.

"Saya melihat ramai kanak-kanak berpeleseran di sekitar pekan Tawau, Sandakan, Lahad Datu juga di Kota Kinabalu.

"Saya terfikir, mengapakah mereka ini tidak bersekolah, sebelum dimaklumkan mereka sebenarnya datang dari keluarga miskin dan ada juga yang tiada kerakyatan," katanya.

Tegas Mukmin, beliau tampil ingin membantu kumpulan kanak-kanak berkenaan bagi membantu mengurangkan masalah jenayah yang dilakukan mereka antaranya mencuri dan menghidu gam.

Menerusi pendidikan, Mukmin berharap sekurang-kurangnya mereka disemai dengan nilai baik dan hidup normal seperti kanak-kanak lain.

Mukmin yang merupakan anak jati Tawau itu berkata, keinginan itu menyebabkannya bersama rakan lain dalam Borneo Komrad menubuhkan Sekolah Alternatif sebagai inisiatif untuk memberi pendidikan percuma kepada golongan itu.

Mengulas lanjut, sebelum Borneo Komrad menubuhkan 'Sekolah Alternatif' sekitar tahun 2015, beliau dan rakan-rakannya mengajar kumpulan kanak-kanak ini di tepi jalan termasuk di Pasar Filipina, Kota Kinabalu. Malah mereka turut masuk ke kampung-kampung untuk mengajar.

Katanya, berbanding sekolah biasa, Sekolah Alternatif beroperasi dengan kaedah pengajaran dan silibus pengajarannya asas. Misalnya, selain kemahiran membaca, menulis dan mengira, murid juga diajar subjek seni, pertanian, masakan serta juga kemahiran lain.

Mukmin berkata, silibus yang dibangunkan adalah berkenaan kehidupan jadi ia tidak terikat dengan peperiksaan atau mengejar gred. Sebaliknya silibus pendidikan berdasarkan pengalaman keperluan komuniti itu sendiri.

"Sekolah ini menarik lebih ramai pelajar disebabkan tiada sebarang yuran dikenakan selain mereka tidak perlu berdaftar menggunakan sebarang dokumen.

"Namun, kami ada had umur misalnya hanya yang berusia 10 tahun ke atas sahaja kami terima.

"Ketika ini Sekolah Alternatif yang dibangunkan Borneo Komrad adalah Kampung Batu 4 Pangkalan di Tawau, Kampung Bangau-Bangau di Semporna dan Kampung Layang Besar (dikenali sebagai Teluk Layang) di Kota Kinabalu," katanya.

Sehingga kini, sekolah berkenaan mempunyai enam guru tetap dan 20 sukarelawan.

Mukmin berkata, dalam usaha menggerakkan usaha mendidik golongan itu pada peringkat awal, beliau dan kawan-kawannya menggunakan duit poket sendiri untuk membeli peralatan sekolah seperti pensil dan buku.

Tambahnya, beliau turut berharap usaha Borneo Komrad untuk memberi pendidikan asas kepada golongan kanak-kanak itu menarik minat masyarakat umum untuk sama-sama menyokong usaha berkenaan.

Tiada ulasan: