TIADA lesen memandu dan tamat tempoh selain lesen kenderaan motor
tamat tempoh merupakan kesalahan paling tinggi dikesan dalam tempoh
enam hari penugasan Op Tahun Baharu Cina hujung bulan lalu.
Dalam operasi bermula 25 hingga 30 Januari itu, sebanyak 24,708 kenderaan dikenakan tindakan, termasuk saman dan notis.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim, daripada jumlah itu sejumlah 15,292 Notis P22 iaitu notis arah periksa dikeluarkan serta 2,328 kesalahan melebihi had laju dikesan melalui Automated Awareness Safety System (AwAS).
Katanya, semasa operasi membabitkan seramai 2,200 anggota itu, sebanyak 67,265 kenderaan diperiksa.
“Kesalahan paling tinggi dikesan tiada lesen memandu dan tamat tempoh iaitu sebanyak 4,471, diikuti lesen kenderaan motor tamat tempoh atau tiada perlindungan insurans dengan 3,702 notis saman dicatatkan.
“Kita juga mengesan empat pemandu bas yang gagal pemeriksaan saringan air kencing iaitu disyaki terbabit dengan pengaruh dadah dan siasatan lanjut akan diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Beliau pada sidang media di Terminal Bas Lembah Sireh, Kelantan malam tadi.
Mengulas lanjut, Zailani memberitahu, tujuh strategi utama dirangka sempena Op Tahun Baharu Cina yang akan berakhir 8 Februari ini.
Ujar beliau antara langkah itu termasuk memberi fokus kepada pemeriksaan bas di depoh dan terminal, rondaan di lebuh raya dan jalan utama, penguatkuasaan khas motosikal serta penyamaran anggota sebagai penumpang bas.
“Penguatkuasaan yang lebih tegas akan dikenakan untuk sembilan kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, lorong kecemasan dan barisan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, membawa lebih muatan serta muatan bahaya,” katanya.
Selain itu katanya, pihaknya akan membuat rondaan selama 16 jam bermula jam 8 pagi sehingga 12 tengah malam dengan menggunakan kenderaan penguatkuasa berlogo sepanjang operasi itu.
“Pemeriksaan bas di terminal dan depoh juga akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penumpang kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres untuk ke destinasi yang dituju,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan