Khamis, 3 Februari 2022

15 kluster baharu dikesan, tahap jangkitan makin membimbangkan


Jumlah kluster Covid-19 yang dikesan sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 hingga hari ini meningkat kepada 6,457 kluster, menurut statistik dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Daripada jumlah itu, 15 kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan setakat ini 332 kluster masih aktif, manakala 6,125 telah ditamatkan.

Maklumat lengkap semua kluster baharu dan yang masih aktif akan dikemas kini dalam laman sesawang kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), Covidnow, tengah malam ini.

Sementara itu, seramai 3,968 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif kes pulih meningkat kepada 2,794,354 kes atau 96.8 peratus daripada 2,887,780 kumulatif kes positif.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan sebanyak 130 kes import melibatkan 69 warganegara dan 61 rakyat asing turut dikesan dalam tempoh itu.

Katanya, 5,590 daripada keseluruhan 5,720 kes baharu hari ini, adalah penularan tempatan yang turut melibatkan 185 rakyat asing.

Sehingga hari ini, 114 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi dengan 56 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada 5,720 kes harian yang dilaporkan hari ini, 43 kes atau 0.8 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5, manakala 5,677 kes atau 99.2 peratus lagi melibatkan pesakit kategori 1 dan 2.

Sementara itu, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes harian semalam bagi seluruh negara adalah pada nilai Rt 1.14, dengan semua negeri, kecuali Labuan mencatat nilai lebih daripada 1.00

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

Berdasarkan data dikongsi Dr Noor Hisham, Perlis mencatat nilai Rt tertinggi iaitu sebanyak 1.24, diikuti Johor (1.20); Pulau Pinang (1.19); Kedah (1.17); Sabah (1.16); dan masing-masing Rt 1.14 bagi Melaka serta Putrajaya.

Selangor pula mencatat nilai Rt 1.13 diikuti Negeri Sembilan (1.11); Kuala Lumpur (1.09); Kelantan (1.08); Perak (1.07); Pahang (1.06); dan masing-masing 1.02 bagi Terengganu serta Sarawak.

Tiada ulasan: