Khamis, 3 Februari 2022

3 warga asing sebar ajaran sesat ‘Wali Tujuh’ ditahan

azrulhakimie

Tangkapan ke atas suspek dilakukan pasukan ESSCOM

KOTA KINABALU – Seramai tiga warga asing yang didakwa menyebarkan ajaran sesat di beberapa buah ladang di negeri ini ditahan di Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan, semalam.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, tangkapan telah dilakukan oleh pasukan beliau.

Katanya, pendatang yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah itu dipercayai menyebarkan ajaran ‘Wali Tujuh’.

Berdasarkan siasatan, kumpulan Wali Tujuh itu mempunyai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang.

“Risikan awal mendapati kumpulan ini diketuai oleh seorang guru dengan dibantu oleh dua individu,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Kesemua suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan untuk siasatan lanjut dan kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63.

Justeru, Hamzah menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Tiada ulasan: