Ahad, 6 Februari 2022

PM umum Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur

 Oleh ZULKIFLI MANZOR

Perdana Menteri (dua dari kiri) memukul gong tanda sembolik perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur malam in

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur.

Perdana Menteri berkata, PKKMKL merangkumi dua perkara utama iaitu usaha meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.

“Bagi menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaiktaraf gerai penjaja di pusat penjaja yang telah usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.

“Selain itu, DBKL dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar,” katanya pada Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur di Panggung Anniversary Taman Botani Perdana di sini malam ini.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan, Datuk Seri Jalaluddin Alias serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

Pada 1 Februari lalu, genap usia Kuala Lumpur 50 tahun diisytiharkan sebagai bandar raya pertama di Malaysia.

Ismail Sabri berkata, dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membolehkan warga kota mendapat kehidupan lebih selesa DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.

Menurut beliau, DBKL akan membuat pembaikan lif yang melibatkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.

Tambah beliau, bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkat dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal “Kuala Lumpur Command & Control Centre”.

Jelas beliau, bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian kelulusan lesen premis perniagaan akan dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.

“Sebagai insentif menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran melibatkan semua fi permohonan akan diberi rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, Kuala Lumpur dalam meniti usia 50 tahun harus lebih bersedia mendepani cabaran dan melihat kepada keperluan masa depan.

Jelas beliau, DBKL sebagai pihak yang mentadbir Kuala Lumpur perlu dinamik dan produktif dalam mengurus isu perbandaran serta memperkasakan penyampaian perkhidmatan.

Sementara itu, Shahidan dalam ucapan alu-aluan beliau berkata, setakat 31 Disember lalu, seramai 434 belia telah membuka kios perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Kata beliau, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyasarkan 1,000 buah kios dibuka menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1 juta pokok dirancang ditanam di Wilayah Persekutuan iaitu 500,000 pokok di Kuala Lumpur, 400,000 pokok di Putrajaya, 100,000 pokok di Labuan dan tempoh penanaman bermula 2021 ke 2025.

“Jumlah keluasan kawasan lapang dan kawasan hijau di Kuala Lumpur yang diperuntukan bagi tujuan aktiviti rekreasi dan riadah adalah 2068.30 hektar.

“Sebanyak 966.05 hektar tanah sudah pun diwartakan, manakala 1033.99 hektar tanah lapang lagi berpotensi untuk diwartakan seperti digazetkan dalam Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

“Kawasan hijau dan kawasan lapang ini juga boleh membawa nilai ekonomi kepada negara apabila dinaiktaraf dan dijadikan sebagai salah satu ikon pelancongan negara,” katanya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: