Rabu, 31 Oktober 2012

Soi Lek: Pemuda PAS rancang mengadap Agong

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) berpandangan, sudah sampai masanya untuk Yang di-Pertuan Agong mengetahui tindakan MCA yang berulang kali telah menghina Islam selaku agama rasmi di dalam Perlembagaan Malaysia.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil (gambar) berkata isu penghinaan berulang kali yang dilontarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap Islam serta perundangannya bukan satu perkara baru.

Ekoran itu, katanya pada 24 Oktober lalu, DPPM telah menyerahkan satu memorandum kepada Chua Soi Lek yang memintanya untuk memohon maaf dan menarik balik kenyataan beliau yang menghina hudud.

Namun, ujarnya DPPM merasakan memorandum yang dihantar seakan-akan ‘dibakulsampahkan’ oleh Chua dan pimpinan MCA.

Di dalam memorandum tersebut, jelasnya DPPM telah memberikan tempoh kepada Chua selama seminggu untuk memohon maaf dan menarik semula kenyataannya yang menghina hudud.

“Dengan ini Dewan Pemuda PAS Malaysia memaklumkan bahawa tempoh yang diberikan telah tamat.

“Dewan Pemuda PAS Malaysia kini sedang mengatur satu gerakkan himpunan besar-besaran ke Istana Negara dan berusaha untuk menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Justeru, katanya DPPM merancang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk menyampaikan aduan itu dalam masa yang terdekat sejurus selepas baginda berangkat pulang daripada menunaikan fardu haji.

Tiada ulasan: