Rabu, 2 Februari 2022

WHO beri amaran terlalu awal isytihar menang lawan Covid


Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini memberi amaran masih terlalu awal untuk mana-mana negara sama ada mengisytiharkan kemenangan ke atas Covid-19 atau berhenti daripada terus menangani dan melawan penularan wabak itu.

“Adalah terlalu awal bagi mana-mana negara sama ada menyerah diri atau mengisytiharkan kemenangan,” kata Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada pemberita.

“Virus ini berbahaya, dan ia terus berkembang di hadapan mata kita,” katanya.

Komen beliau dibuat ketika Denmark menjadi negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang menarik semua sekatan Covid-19 mulai hari ini, walaupun merekodkan peningkatan kes bagi varian Omicron, dengan beberapa negara lain merancang langkah serupa.

“Kami bimbang bahawa naratif telah berlaku di beberapa negara bahawa disebabkan oleh vaksin dan kerana kebolehjangkitan Omicron yang tinggi dan tahap keterukan yang lebih rendah, mencegah penularan tidak lagi diperlukan,” kata Dr Tedros.

“Tidak ada yang lebih jauh dari kebenaran,” tambahnya, sambil menekankan bahawa lebih banyak penularan Covid-19 bermakna lebih banyak kematian.

Beliau menegaskan sejak Omicron pertama kali dikesan di selatan Afrika 10 minggu lalu, hampir 90 juta kes Covid-19 telah dilaporkan kepada WHO – lebih daripada sepanjang tempoh 2020.

Terdahulu WHO memaklumkan varian Omicron Covid-19 yang lebih pantas menular berbanding versi asal, kini dikesan di 57 negara, dan telah menjadi dominan di dunia. Berita berkaitan

Sementara varian baharu Covid-19 diketahui lebih ringan, beliau menekankan bahawa “kita kini mula melihat peningkatan kematian yang sangat membimbangkan di kebanyakan wilayah di dunia”.

Dr Tedros menekankan keperluan untuk terus menjejaki varian yang muncul, termasuk BA.2 sub-varian Omicron.

“Virus ini akan terus berkembang, itulah sebabnya kami menyeru negara untuk meneruskan ujian, pengawasan dan penjujukan. Kita tidak boleh melawan virus ini jika kita tidak tahu apa yang dilakukannya,” katanya.

Sejak Covid pertama kali muncul di China pada akhir 2019, lebih 373 juta kes yang disahkan dan hampir 5.7 juta kematian telah dilaporkan kepada WHO, tetapi jumlah sebenar dipercayai jauh lebih tinggi.

Minggu lalu sahaja, lebih 22 juta kes Covid-19 dan lebih 60,000 kematian dilaporkan di seluruh dunia.

“Sekarang bukan masa untuk menamatkan semua sekatan sekali gus,” kata Dr Maria Van Kerkhove, yang mengetuai agensi tindak balas pandemik WHO. – Agensi

Tiada ulasan: