Khamis, 3 Februari 2022

PKR umum calon selepas tarikh PRN Johor ditetapkan

Oleh KHAIRUL MOHD ALI
AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir menyampaikan sumbangan ayam segar kepada penduduk secara pandu lalu di sekitar Taman Suria, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU: PKR hanya akan memuktamad dan mengumumkan senarai nama calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh-tarikh penting minggu depan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, cabang dan sayap PKR iaitu Wanita serta AMK sendiri sudah menyerahkan senarai calon kepada kepimpinan pusat.

Jelasnya, ketika ini semua pihak sedang menunggu senarai calon akhir dimuktamadkan kepimpinan tertinggi pusat.

“Ketika ini kita juga masih lagi tunggu keputusan dibuat SPR kerana banyak khabar angin ada negeri lain turut goyang (situasi politik tidak stabil). 

“Jadi bagi saya kita tunggu dahulu SPR tetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi kemudian baru kita muktamad bila nak umum calon-calon PKR,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Ayam Segar di Taman Suria, di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau akan turut bertanding dalam PRN Johor, Ahli Parlimen Johor Bahru itu meminta persoalan tersebut diajukan terus kepada kepimpinan tertinggi pusat.

“Saya hanya buat kerja seperti biasa kerana Parlimen Johor Bahru masih di bawah PKR, jadi ini memang tanggungjawab saya.

“Sama ada nama saya ada dalam senarai calon PKR yang akan bertanding nanti, itu boleh tanya dengan kepimpinan pusat,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu AMK menyasarkan 30 peratus atau sekurang-kurangnya enam kerusi daripada 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada PKR dalam PRN Johor ini.

“Bagi saya, apa yang penting bukan sahaja meletakkan calon yang berpotensi tinggi untuk menang, tetapi juga mempunyai kelayakan dan ciri-ciri kepimpinan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Akmal turut memaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berada di Johor esok bagi mempengerusikan mesyuarat bersama kepimpinan di peringkat negeri.

“Beliau kemudiannya akan turut menyertai beberapa program PKR yang telah dijadualkan berlangsung di seluruh Johor pada hari Sabtu,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: