Rabu, 2 Februari 2022

Rumah transit PATI diserbu, 14 warga Indonesia ditahan

PATI yang ditahan dalam serbuan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama (ATB 2) ke rumah kosong di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Tawau, malam tadi. - Foto ATB 2
PATI yang ditahan dalam serbuan Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama (ATB 2) ke rumah kosong di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya, Tawau, malam tadi. - Foto ATB 2

TAWAU: Sebuah rumah kosong di sini yang dipercayai dijadikan lokasi persembunyian sementara pendatang asing tanpa izin (PATI) diserbu Tim Quick Reaction Force (QRF) Angkatan Tugas Bersama (ATB 2), malam tadi.

Dalam serbuan jam 7.38 malam itu, seramai 14 warga Indonesia berusia 19 hingga 48 tahun yang dipercayai baru tiba dengan menaiki sebuah bot laju berjaya ditahan ketika sedang bersembunyi di premis terletak di Jambatan 1, Kampung Kurnia Jaya itu.

Komander ATB 2, Brig Jen Abdul Karim Ahmad, berkata terdahulu pihaknya berjaya mengesan pergerakan bot laju dinaiki kesemua PATI itu menerusi Radar Coastal Surveillance Station (CSS).

"Mereka terdiri tujuh lelaki termasuk seorang berusia sembilan dan lima wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah. Siasatan awal mendapati mereka menaiki bot diatur ejen dari Pulau Sebatik ke daerah ini.

"Selepas tiba di sini, mereka akan diambil dan dihantar ke destinasi yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini sambil menambah, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang giat mengumpul maklumat untuk menangkap tekong-tekong darat selain pemantauan berterusan serta mengoptimumkan penggunaan radar dan dron bagi memastikan kejayaan aturgerak operasi yang dilaksanakan.

"Kita sentiasa komited dan berada pada kesiapsiagaan operasi yang tertinggi dalam memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan sempadan negara," tegasnya.

Tiada ulasan: