Jumaat, 4 Februari 2022

Wanita 74 tahun mangsa terbaru Love Scam, diperdaya ‘kekasih Amerika’

JERAT cinta ‘Love Scam’ memang lain macam, sudah banyak dilaporkan sejak beberapa tahun dahulu namun ada lagi yang terpedaya.

Seperti biasa, percintaan yang wujud adalah secara online dengan wanita berduit disasarkan mereka tanpa mengira umur.

Selepas perkenalan di media sosial dan janji mahu berkahwin, ‘kekasih’ luar negara mulalah meminjam wang dan selepas berkali-kali masukkan duit barulah mangsa sedar yang sebenarnya percintaan itu hanyalah penipuan semata-mata.

Terbaru wanita berusia 74 tahun di Kuantan kerugian RM52,300 akibat Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang kononnya warga Amerika Syarikat (AS) menerusi laman sosial pada Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita warga emas yang juga pesara itu dikatakan telah dihubungi suspek melalui Facebook dengan nama Nelson Michael Jr.

Suspek mendakwa dirinya berasal dari AS namun bekerja di Miri, Sarawak dalam bidang cari gali minyak.

Beliau berkata sepanjang perkenalaan, mangsa tidak pernah menemui suspek dan hanya berhubung dengan lelaki tersebut menerusi panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah meminjam wang dari wanita itu dengan pelbagai alasan sebanyak tujuh kali dengan jumlah keseluruhan RM52,300 malah berjanji dengan mangsa mahu mengahwininya apabila memberi pinjam wang tersebut.

Bagaimanapun, suspek tidak dapat dihubungi mangsa sejak 31 Januari lepas, iaitu selepas melakukan transaksi terakhir malah lelaki itu turut menyekat nombor telefon wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

Menurut Mohd Wazir, mangsa yang menyedari dirinya tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan,” ujarnya.

Tiada ulasan: