Ahad, 6 Februari 2022

PRN: Tumpu muafakat dan penyatuan Melayu, tidak perlu saling menyerang – Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa

BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin panas apabila semakin banyak parti berminat menyertainya dan pemimpin parti masing-masing juga telah memulakan kempen menyerang parti lawan.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berpendapat walaupun PRN akan diadakan tidak lama, pihak-pihak bertanding tidak seharusnya begitu ghairah menyerang parti lawan sehingga menjejaskan perpaduan masyarakat.

“Menyerang bertubi-tubi tidak membawa kita ke mana-mana. Politik kini memerlukan hemah dan kebijaksanaan aras tinggi. Tumpu kepada perkara-perkara asas dan dasar.

“Tumpu kepada usaha mensejahterakan rakyat serta menghurai agenda masa depan. Tumpu juga kepada jalan-jalan penyatuan dan muafakat Melayu yang kini kembali rumit,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata, usaha melunakkan hubungan politik orang Melayu dan umat Islam mesti diteruskan dan agenda muafakat yang pernah terbentuk sebelum ini tidak harus dikesampingkan begitu saja.

“Insyaallah walau berlaku PRN di Johor, agenda kebersamaan orang Melayu dan umat Islam mesti kita teruskan.

BERITA BERKAITAN PRN Johor: PN muktamad senarai calon minggu depan – Muhyiddin

“Justeru bersederhana itu adalah sebaik-baik cara untuk semua pihak,” kata Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu.

WAN SAIFUL Wan Jan berulang kali menyerang UMNO 
Johor ketika berceramah di Johor. – Tangkap layar ceramah 
Wan Saiful

Katanya, sejak beberapa hari lepas, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak bertubi-tubi menyerang UMNO kerana PRN di Johor.

“Nasihat saya pada Wan Saiful supaya tumpu pada partinya dulu dari menyerang UMNO, khususnya UMNO Johor. UMNO ada cara kita sendiri. UMNO bukan setahun jagung. UMNO juga bukan serpihan. UMNO ada sejarah dan wibawanya sendiri. Begitu juga UMNO Johor,” katanya.

Katanya, PRN tersebut diadakan selepas UMNO dan BN Johor telah meneliti semua sudut dan merasakan mandat perlu dikembalikan kepada rakyat dan Bangsa Johor, agar terbentuk sebuah kerajaan negeri yang lebih stabil dan dapat menumpukan sepenuhnya tumpuan kepada usaha membangunkan Johor dan membela rakyat Johor.

“Kepimpinan UMNO Johor merupakan satu saf kepimpinan yang amat baik, berpengelaman dan istiqamah dalam perjuangan politik. Mungkin tidak semua, tapi rata-rata Johor melahirkan pemimpin yang berkualiti. Apa lagi dalam isu negeri dan rakyat Johor, orang Johorlah yang lebih tahu tentang negeri mereka,” katanya. – UtusanTV

Tiada ulasan: