Jumaat, 4 Februari 2022

Bekalan telur di Terengganu dijangka pulih dalam masa terdekat, kata KPDNHEP

 BERNAMA

Pasar raya yang terputus bekalan telah membuat tempahan dengan pemborong dan edaran akan dilakukan dalam masa terdekat.

Masalah kekurangan bekalan telur di negeri ini yang berlarutan lebih sebulan dijangka pulih dalam masa terdekat.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata pihaknya telah menjalankan pemantauan di 26 pasar raya utama di seluruh negeri susulan aduan dan rungutan yang diterima daripada orang ramai dan laporan di media massa.

Bagaimanapun pihaknya mendapati hanya 30% daripada premis berkenaan yang terputus bekalan telur manakala selebihnya masih membekalkan bahan makanan tersebut kepada pengguna seperti biasa.

“Pasar raya yang terputus bekalan telah pun membuat tempahan dengan pemborong dan edaran akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Jadi saya minta orang ramai supaya tidak panik dan melakukan pembelian dalam kuantiti luar biasa selepas ini kerana ia akan menyebabkan masalah sama berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saharuddin masalah kekurangan bekalan yang berlaku sejak kebelakangan ini adalah disebabkan perubahan cuaca dan kenaikan kos makanan ayam telur serta upah buruh yang mendadak.

Katanya pada November tahun lepas, anggaran bekalan telur yang diagihkan ke pasaran ialah 900,000 biji, tetapi mencatat penurunan sekali ganda iaitu 450,000 biji pada Disember tahun lalu.

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran tegas kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga telur sesuka hati pada waktu krisis.

“Peniaga yang menaikkan harga telur dengan alasan kekurangan bekalan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang jika sabit kesalahan, syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.

“Bagi individu pula, denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tiada ulasan: