Ahad, 6 Februari 2022

[VIDEO] Lelaki cetus kejadian khianat dekat Ipoh direman 4 hari

Tangkap layar klip video seorang lelaki dipukul orang ramai selepas kejadian khianat dilakukannya.

Polis mengesahkan penahanan seorang lelaki yang bertanggungjawab mencetuskan kejadian khianat di Taman Ipoh Timur semalam sehingga mengakibatkan dia dipukul sekumpulan individu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek kini telah direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 8 Februari untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan pada Jumaat (4 Februari) mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes itu kini kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu kerana mendatangkan kecederaan serta khianat.

Yahaya berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan polis yang dibuat oleh waris lelaki itu hari ini mengenai suspek yang dipukul orang ramai semasa kejadian.

“Siasatan masih dijalankan dengan merangkumi kesemua aspek berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan penularan video berkaitan insiden itu.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bertindak melangkaui undang-undang atau meletakkan undang-undang di tangan sendiri dalam apa jua keadaan.

“Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.

Lewat malam tadi UtusanTV turut berkongsi klip video mengenai satu kejadian pukul yang dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang lelaki selepas disuruh memakai pelitup muka.

Lelaki berbaju biru itu yang dikatakan mengamuk dengan merosakkan beberapa peralatan sebuah restoran di kawasan kejadian telah dipukul orang ramai akibat tindakannya itu.

Antara peralatan yang dirosakkan lelaki itu termasuk rak kaca dan pengimbas suhu di sebuah restoran.

Tiada ulasan: