Ahad, 6 Februari 2022

Orang Asli mati dibaham Pak Belang

Oleh AIMUNI TUAN LAH

Kampung Bihai, Gua Musang.

GUA MUSANG – Sambutan perayaan menuai padi dan menangkap ikan sungai masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar bertukar tragedi apabila salah seorang penduduk ditemui maut selepas dipercayai dibaham seekor harimau belang di Kampung Sau, Pos Bihai di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.10 pagi itu, mangsa, Anek Along yang dipercayai sedang menumbuk padi huma di belakang rumahnya disedari hilang sebelum orang kampung menemui mayatnya bersama harimau itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anak perempuan mangsa yang masih belum disahkan usianya menyedari kehilangan bapa selepas tiada sahutan apabila dipanggil beberapa kali.

Katanya, anak mangsa telah mencari lelaki itu di belakang rumah sebelum melihat kesan darah pada daun-daun pokok.

“Anak mangsa kemudian telah memanggil orang kampung untuk mencari bapanya berdasarkan kesan darah pada daun-daun pokok.

“Tidak lama kemudian, orang kampung akhirnya telah menjumpai mayat mangsa bersama harimau itu. Orang kampung telah membaling lembing dan dipercayai telah terkena harimau sebelum haiwan itu lari ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE.

Tiada ulasan: