Selasa, 30 Oktober 2012

Lagi Petani Tanjong Karang Berdemo Bantah Subsidi Benih Padi Tidak Berkualiti




TANJONG KARANG : Petani di kawasan Tanjong Karang dan Sekinchan berang dan membuat laporan polis terhadap tindakan Datuk Seri Noh Omar yang memberikan tender subsidi benih padi bernilai RM164.8 juta kepada pembekal yang tidak memenuhi kriteria.

Menurut Naib Penyelaras DUN Sungai Burong, Misran Serman, laporan polis itu dibuat bersama Loo Kim Yong dan S Ragavan semalam berikutan kemungkinan wujudnya penyelewengan mengenai agihan tender benih padi sah bagi tahun 2013 hingga 2014.



Katanya, benih yang diberikan kepada petani melalui subsidi Kerajaan Pusat itu kurang berkualiti dan menyebabkan benih padi yang akan ditanam itu tidak dapat hidup serta menyebabkan pelbagai penyakit yang boleh menyebabkan kerugian besar ditanggung petani.

“Para petani merasa marah dan tidak berpuas hati kerana benih padi yang diberikan melalui subsidi ini akan menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan kos yang besar bagi mengelakkan padi diserang pelbagai penyakit ,” katanya ketika ditemui selepas demonstrasi aman di hadapan Pusat Pemprosesan Benih Padi di Sungai Burong pagi ini.

Sementara itu, demonstrasi aman yang dihadiri kira-kira 30 petani di kawasan itu menuntut penjelasan lanjut oleh Noh mengenai pemberian kuota subsidi yang hanya mementingkan kroni dan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membela nasib golongan berkenaan.



Dalam pada itu, Adun Sekinchan, Ng Sui Lim mendakwa, Noh Omar memberikan lebih separuh kuota subsidi benih padi berjumlah 80,000 tan metrik kepada Syarikat Seri Merbak Sdn Bhd yang didakwa dimiliki oleh Datuk Rais Zainuddin iaitu bekas ahli Exco Negeri Sembilan dan Syarikat Haji Mohd Noor yang didakwa memiliki hubungan rapat dengan Noh.

“Syarikat ini memonopoli lebih daripada jumlah kuota keseluruhan dan memberikan benih padi berkualiti rendah dan seterusnya menyebabkan penghasilan padi rendah yang akhirnya menyebabkan kerugian kepada petani,” katanya.



Sui Lim berkata, Noh Omar seharusnya meletakkan jawatan sebagai menteri kerana mempunyai pelbagai skandal rasuah dan penyelewengan serta gagal menjalankan tugasnya menjaga kebajikan rakyat khususnya para petani.

“Saya mendesak Noh Omar meletakkan jawatannya sebagai menteri kerana gagal membela nasib rakyat malah didakwa mempunyai pelbagai skandal seperti penjualan tanah di Tanjong Karang dan isu kolam udang yang didakwa dimilikinya,” katanya lagi.

Sebelum ini Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menafikan dakwaan itu sambil menyifatkan isu mengenai pemberian tender benih padi kepada kroni itu sengaja dipolitikkan oleh pembangkang.

Tiada ulasan: