Khamis, 3 Februari 2022

Penganggur maut dipukul ketika berbalah kes dadah

Oleh MASTURA SURADI
 
MAYAT mangsa yang dijumpai tidak bernyawa di Jalan Datuk Onn, Mersing Kanan di Mersing.

MERSING: Seorang penganggur maut dalam perbalahan dipercayai melibatkan kes dadah di Jalan Datuk Onn, Mersing Kanan kira-kira pukul 7.15 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan dua saksi, mangsa berumur 37 tahun itu diserang tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara.

Katanya, terdapat seorang lagi suspek berperanan sebagai pemandu kenderaan terbabit turut dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Motif pergaduhan dipercayai akibat perbalahan berkaitan dadah, jadi siasatan berkaitan kejadian ini masih lagi kita letakkan isu tentang bahan terlarang itu. Mungkin ada perbalahan di antara mereka berkaitan isu dadah atau pun apa-apa maklumat berkaitan dadah.

“Punca kematian mangsa dipercayai akibat kecederaan parah di tengkuk dan pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemukan senjata yang digunakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Shahurinain, mayat lelaki berkenaan akan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) esok bagi proses bedah siasat.

Katanya, susulan itu dua suspek berumur 31 dan 32 tahun juga telah berjaya diberkas di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

“Mereka yang bekerja sebagai buruh kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing bagi membantu siasatan.

“Polis giat mengesan dua lagi suspek yang terlibat. Maklumat awal mendapati mangsa dan keempat-empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: