Khamis, 3 Februari 2022

Peniaga diingat tak kenakan pembelian bersyarat kepada pengguna

 azrulhakimie

Ia satu perkara serius dan peniaga boleh dikenakan tindakan

BALING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengingatkan peniaga agar tidak mengenakan pembelian bersyarat kepada pelanggan bagi membeli barangan kawalan di premis mereka.

Walaupun kegiatan itu tidak berlaku secara meluas, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan peniaga yang terlibat boleh dikenakan tindakan, termasuk dikompaun atau dibatalkan lesen perniagaan.

Menurutnya, tindakan peniaga mengenakan pembelian bersyarat yakni pengguna dikehendaki membuat pembelian barangan runcit lain sebelum boleh membeli minyak masak bersubsidi, dikesan berlaku di Kelantan dan Selangor.

“Kita sentiasa melakukan pemantauan berterusan agar tiada lagi peniaga yang menetapkan syarat supaya pelanggan membeli barangan lain sebelum dibenarkan membeli barangan kawalan. Kita yakin ramai peniaga yang sedar bahawa tindakan tersebut merupakan satu kesalahan.

“Namun, jika ia masih berlaku, salurkan maklumat kepada KPDNHEP agar tindakan segera dapat diambil,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan premis di kawasan luar bandar sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 di Kampung Lalang di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan kekurangan bekalan minyak masak dan telur ayam, Azman berkata hal itu mungkin berlaku disebabkan beberapa faktor seperti pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti pembelian berskala besar untuk diagihkan kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan terus memantau keadaan itu bagi memastikan bekalan mencukupi dan tiada penyelewengan berlaku.

Sementara itu, Azman berkata pemeriksaan di beberapa premis sepanjang pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2022 yang berkuat kuasa dari 29 Januari lepas sehingga Jumaat ini, mendapati tahap pematuhan dalam kalangan peniaga amat memuaskan.

“Setakat tiga hari pelaksanaan SHMMP sehingga Isnin lepas, sebanyak 3,704 premis di seluruh negara telah diperiksa dan terdapat dua kes berkaitan kesalahan tanda harga telah diambil tindakan,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan: