Jumaat, 4 Februari 2022

Bekas banduan mati dipukul dengan rotan

Bekas banduan ditemui mati dipercayai dipukul dengan rotan dalam kejadian di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan, Johor, pagi tadi. - Foto tular
Bekas banduan ditemui mati dipercayai dipukul dengan rotan dalam kejadian di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan, Johor, pagi tadi. - Foto tular

MERSING: Niat seorang bekas banduan untuk mencari kerja di daerah ini selepas baru sebulan keluar dari penjara berakhir tragedi apabila maut dipukul hingga mati di Jalan Dato Onn, Mersing Kanan, di sini, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun disyaki dipukul menggunakan rotan oleh tiga lelaki yang menaiki Proton Iswara, sebelum melarikan diri sejurus selepas kejadian.

Beliau berkata, kejadian berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) milik penghuni sebuah rumah di lokasi kejadian.

"Sebelum kejadian, mangsa bergaduh dengan tiga suspek dan selepas dipukul, semua suspek melarikan diri dan meninggalkan mangsa dalam keadaan terbaring.

"Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat cedera parah di bahagian leher dan pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru untuk bedah siasat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Mersing hari ini.

Shahurinain berkata, dua daripada empat suspek berusia 31 dan 32 tahun berjaya ditahan di sebuah rumah di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, kira-kira 3.15 petang tadi.

"Dua lagi suspek berusia 34 dan 43 tahun sedang diburu pihak polis.

"Mangsa mempunyai 11 rekod jenayah lalu membabitkan lapan kes berkaitan dadah dan tiga kes jenayah, manakala semua suspek juga mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: