Jumaat, 4 Februari 2022

Eropah bakal jalani ‘gencatan senjata’ Covid yang boleh tamatkan pandemik, kata WHO

 AFP

Bagaimanapun, WHO mengingatkan senario itu hanya akan berlaku jika Eropah meneruskan kempen vaksinasi dan meningkatkan pengawasan bagi mengesan varian baru Covid-19.

Dua tahun selepas wabak Covid-19 melanda dunia, Eropah tidak lama lagi mungkin memasuki fasa “tempoh panjang yang tenang ” berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, selain penularan rendah varian Omicron dan musim sejuk yang bakal berakhir, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

“Tempoh panjang dengan perlindungan yang lebih tinggi ini harus dilihat sebagai ‘gencatan perang’ yang boleh membawa kepada keamanan yang terus berkekalan,” kata pengarah WHO Eropah Hans Kluge.

“Dalam konteks ini, ia telah memberikan kita kemungkinan untuk menjalani sebuah tempoh panjang yang tenang,” tambahnya.

Eropah juga akan berada dalam kedudukan yang lebih baik bagi menangkis sebarang penularan semula, “walaupun berdepan dengan varian yang lebih ganas” dari Omicron, tambahnya.

“Saya percaya kita boleh berdepan dengan varian baru yang mungkin akan muncul juga – tanpa perlu melaksanakan langkah-langkah kesihatan yang sebelum ini perlu dilakukan,” kata Kluge.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan senario optimistik itu hanya akan berlaku jika negara-negara Eropah meneruskan kempen vaksinasi dan meningkatkan pengawasan bagi mengesan varian baru Covid-19.

Beliau juga turut menggesa pihak berkuasa kesihatan untuk melindungi kumpulan berisiko dan mempromosikan pelaksanaan langkah kesihatan kendiri.

Penularan varian Omicron yang lebih mudah dijangkiti telah menyebabkan jangkitan melonjak di seluruh rantau Eropah yang terdiri dari 53 negara, termasuk beberapa negara di Asia tengah.

Menurut WHO, kira-kira 12 juta kes baru direkodkan minggu lalu di Eropah, sebuah angka tertinggi sejak wabak itu melanda dunia.

Tiada ulasan: