Selasa, 30 Oktober 2012

Sumbangan RM1,000 Kepada Veteran ATM Tidak Berpencen Dibayar Januari 2013

MSTAR ONLINE

SIBU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin melancarkan Sumbangan Veteran Tidak Berpencen (STB1M) pada majlis makan malam Kempen Rayuan Hari Pahlawan ke-52 di sini.

Bercakap pada majlis itu, beliau berkata kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 secara sekali gus kepada 234,500 veteran ATM terdiri daripada pegawai dan lain-lain pangkat seluruh negara.

"STB1M yang akan dibayar mulai Januari 2013 akan melibatkan peruntukkan kewangan sebanyak RM234.5 juta. Kos ini akan ditanggung bersama oleh kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT)" katanya.

Penerima atau veteran ini adalah mereka yang berkhidmat kurang daripada 21 tahun yang bersara awal dan tidak berpencen, yang telah dibersarakan atau menamatkan perkhidmatan secara terhormat tanpa mengira tarikh mula berkhidmat, sementara tarikh tamat tempoh perkhidmatan adalah pada atau sebelum 31 Disember 2012.

"Mereka yang layak adalah daripada angkatan tetap ATM, angkatan sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, daripada Force 136, tentera British yang berkhidmat di Malaya/Malaysia atau Singapura dan daripada Sarawak Rangers," katanya.

Sumbangan ini, yang merupakan rentetan daripada pembentangan Belanjawan 2013, bagaimanapun tidak dipanjangkan kepada balu, duda atau tanggungan, kata Zahid.

Beliau berkata bakal penerima boleh mendapatkan borang STB1M di semua pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) seluruh negara mulai 1 Nov 2012.

"Borang ini juga boleh didapati di 78 buah Pusat Sehenti yang terdiri daripada kem/unit tentera terpilih di seluruh negara atau dimuat turun melalui laman sesawang JHEV iaitu www.jhev.gov.my

"Semua persatuan/pertubuhan/kelab bekas tentera di seluruh negara turut akan dibekalkan dengan borang ini yang mesti dikembalikan bersama dokumen yang diperlukan ke mana-mana pejabat JHEV atau Pusat Sehenti sebelum 30 Nov 2012," katanya.

Pada majlis makan malam itu sebanyak RM133,000 berjaya dikutip daripada para dermawan yang hadir bagi menambah kutipan sebelumnya sebanyak RM130,000.

Zahid menghulurkan sebanyak RM25,000, sementara anggota Parlimen kawasan Lanang Datuk Tiong Thai King menghulurkan RM38,000 bagi tujuan persatuan negeri ini membeli bangunannya sendiri.

Thomas Ling Kui Eng, naib presiden Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Kebangsaan dan juga Yang Dipertua cawangannya di Sarawak merangkap presiden Persatuan Veteran Tentera Malaysia Negeri Sarawak, menjadi hos majlis. - BERNAMA

Tiada ulasan: