Rabu, 2 Februari 2022

Kebakaran tapak pelupusan sampah Sungai Burung padam sepenuhnya

Oleh Nur Izzati Mohamad
  Anggota bomba yang terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah Sungai Burung menunjukkan tanda bagus selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini - Foto NSTP/FB Menteri KPKT
Anggota bomba yang terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran tapak pelupusan sampah Sungai Burung menunjukkan tanda bagus selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini - Foto NSTP/FB Menteri KPKT

NIBONG TEBAL: Kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini sejak 12 Januari lalu berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini.

Perkara itu dikongsikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam catatan Facebooknya hari ini.

"Alhamdulillah misi memadam kebakaran di tapak pelupusan Pulau Burung telah berjaya disempurnakan sepenuhnya.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran. Kerjasama bersepadu dapat mengakhiri misi ini dengan jayanya," katanya.

Semalam, 98 peratus kebakaran tapak pelupusan sampah berkenaan berjaya dipadamkan menandakan operasi pemadaman akan berakhir selepas tiga minggu kerja-kerja memadam kebakaran dijalankan.

Dalam kejadian 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah berkenaan dilaporkan terbakar seluas 11.3 hektar hingga menyebabkan kualiti udara dekat situ terjejas dan memberi risiko terhadap kesihatan.

Kebakaran terbabit juga menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru, penduduk dari dua kampung berdekatan tapak pelupusan sampah itu diarah mengosongkan kediaman mereka dan berpindah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka akibat kawasan kediaman mereka tercemar dengan udara tidak sihat.

Sementara itu, mengikut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 8 malam tadi mendapati stesen sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram menunjukkan bacaan IPU sederhana dibawah 100.

Tiada ulasan: