Selasa, 30 Oktober 2012

Pemberi Maklumat Isu PFN Tidak Dilindungi WPA



KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WPA) yang diwujudkan bagi melindungi pemberi maklumat dalam isu rasuah tidak terpakai dalam kes berkaitan Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

Beliau berkata tidak ada keperluan untuk memberikan perlindungan kepada pihak terbabit kerana dalam kes PFN, perkara itu telah dihebohkan kepada semua orang sehingga seluruh dunia tahu mengenainya.
"Semua orang tahu itu dia, apa lagi perlindungan yang dia mahu," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Nazri yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen berkata akta itu hanya melindungi pemberi maklumat dan bukannya pihak yang melanggar undang-undang, seperti Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (Bafia).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak) yang ingin tahu kenapa pihak yang mendedahkan salah laku dalam projek lembu itu tidak diberi perlindungan undang-undang.

WPA merupakan satu inisiatif perundangan utama di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diwujudkan bagi menangani rasuah, akan mula berkuatkuasa 15 Disember 2010.

Ogos lalu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan butiran perbankan berkaitan dengan skandal National Fidlot Corporation (NFCorp).

Rafizi didakwa di bawah Bafia atas kesalahan mendedahkan maklumat sulit dan rahsia perbankan NFCorp milik pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Tiada ulasan: