Rabu, 2 Februari 2022

Lelaki pukul isteri diburu


Polis memburu seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau kerana disyaki terbabit memukul isterinya dalam satu kejadian yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 petang 29 Januari lalu di kawasan Tasik Bandar Darulaman, Jitra.

“Pada 29 Januari lalu kira-kira jam 7.30 petang seorang wanita telah ditumbuk di bahagian belakang dan ditarik rambut dengan kuat oleh suaminya yang berusia 33 tahun kerana pengadu tidak mahu kembali dengan suspek.

“Pengadu dan suspek dalam proses bercerai dan tinggal berasingan sejak 8 November 2021 hingga kini. Ketika kejadian pengadu pergi ke kawasan Tasik Bandar Darulaman, Jitra, untuk mengambil anak perempuan berusia 6 tahun yang dijaga sementara oleh suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya wanita itu menjerit meminta tolong menyebabkan orang awam datang membantu dan menghalang suspek daripada memukul pengadu.

Rodzi berkata suspek berhenti bertindak demikian dan melarikan diri apabila orang awam mengertak akan membuat laporan polis.

“Pada 30 Januari, kira-kira jam 1 pagi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah telah pergi ke sebuah rumah di belakang pasar Changlun dan mendapati tiada penghuni.

“Tindakan mengesan suspek masih giat dijalankan dan semakan rekod mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes pukul iaitu mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Tiada ulasan: