Tuesday, July 20, 2021

Perlis bakal beralih ke fasa tiga

BH ONLINE
Pelanggan beratur membeli makanan untuk dibungkus kerana makan di dalam restoran hanya dibenarkan pada Fasa Tiga Perintah Pelan Pemulihan Negara. - Foto NSTP/GHAZALI KORI
Pelanggan beratur membeli makanan untuk dibungkus kerana makan di dalam restoran hanya dibenarkan pada Fasa Tiga Perintah Pelan Pemulihan Negara. - Foto NSTP/GHAZALI KORI

KANGAR: Perlis yakin akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak lama lagi, berikutan tahap vaksinasi di negeri itu mencapai 36.1 peratus, ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, berkata Perlis masih memerlukan sekitar 3.9 peratus kadar vaksinasi penduduk dewasa bagi beralih ke Fasa Tiga PPN.

Sebelum ini kerajaan menetapkan bagi mebolehkan Fasa Dua PPN beralih ke Fasa Tiga, nilai ambang yang ditetapkan usaha vaksinasi dua dos perlu mencapai kadar 40 peratus, penggunaan ICU di tahap selamat, dan kes harian COVID-19 berada di bawah angka 2,000.

Sementara itu, beliau berkata pada sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) secara maya yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat beberapa keputusan penting berkaitan PPN yang membabitkan negeri-negeri yang berada di Fasa Dua PPN.

"Saya juga mengesyorkan supaya semua sektor peruncitan di seluruh Malaysia dibenarkan beroperasi semula, termasuklah kedai makan, restoran, gerai makan.

"Syaratnya semua petugas dan pelanggan setiap premis runcit mestilah sudah menerima dua dos vaksinasi, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat," katanya.

Perlis antara lapan negeri yang beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini, selain Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.– BERNAMA

No comments: