SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris
Shah hari ini bertitah menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor supaya mempercepatkan proses vaksinasi
Covid-19 kepada para imam, bilal dan siak di masjid serta surau, dan
jurunikah di seluruh Selangor.
Menurut kenyataan yang dimuat naik
di Facebook Selangor Royal Office, ia adalah sebagai persediaan awal
bagi membolehkan masjid dan surau dibuka untuk lebih ramai jemaah
khususnya bagi menunaikan Solat Jumaat, bergantung kepada perkembangan
terkini Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Baginda berpandangan adalah penting untuk imam, bilal dan siak serta Jurunikah ini diberi keutamaan memperoleh vaksin Covid-19 secepat mungkin sebagai perlindungan, kerana tugas mereka terdedah kepada risiko jangkitan yang lebih tinggi.
Kenyataan yang sama memaklumkan baginda juga berkenan berangkat mengurniakan watikah pelantikan Sahibus Samahah, Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor dan Timbalan Mufti Selangor yang baharu di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Kenyataan itu menyebut Datuk Dr Anhar Ophir kini secara rasminya dilantik sebagai Mufti Selangor berkuat kuasa 21 Mei.
Anhar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Mufti Selangor sejak 2016 memiliki kelulusan tertinggi Ijazah Doktor Falsafah (Feqh Wa Usuluh), Mumtaz dari The World Islamic Sciences And Education University (WISE), Jordan dan Ijazah Sarjana (Falsafah Islamiah), Mumtaz dari Universiti Kaherah, Mesir.
Jawatan Timbalan Mufti Selangor pula kini diambil alih oleh Prof Madya Dr. Miszairi Sitiris.
Miszairi yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah IRKH (Fiqh dan Usul Al-Fiqh) dari Universiti Islam Antarabangsa (IIUM) sebelum ini bertugas sebagai Pensyarah di IIUM sejak 1996. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment