SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini membenarkan notis kebankrapan terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat diserahkan secara penyampaian ganti melalui notis iklan dan penampalan.
Peguam utama OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan, berkata ini berikutan kegagalan usahawan terbabit membayar penghakiman sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis utama iaitu OWA Resources seperti yang diputuskan Mahkamah Rayuan pada April lalu.
"Dua plaintif dari OWA Resources iaitu Nurwati Hussin, 41, dan Mohammed Syakir Hussin, 32, berkata notis berkenaan sudah dibuat minggu ini namun pihaknya belum menerima afidavit membantah notis kebankrapan itu oleh pihak Muhammad Sajjad.
"Pihak anak guam tidak dapat menjejaki lokasi sebenar defendan. Oleh itu, kami mendapatkan kebenaran mahkamah untuk menyerahkan notis secara iklan, menampal notis di mahkamah dan di depan rumah defendan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hafidzah berkata, tahun lalu anak guamnya membekukan akaun bank defendan tetapi hanya dapat memperoleh RM5,000 iaitu baki terkini akaun terbabit.
Difahamkan, pihak Muhammad Sajjad ada membuat cadangan awal bulan ini untuk membayar ganti rugi itu secara ansuran sebanyak RM3,000 sebulan sehingga selesai pembayaran penuh tetapi pihak plaintif tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Berdasarkan notis berkenaan, Muhammad Sajjad perlu membayar RM113,327 dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 13 September 2018 (tarikh pemfailan writ saman) hingga 3 Mac 2021 (tarikh notis kebankrapan) serta kos mahkamah sebanyak RM70,000 dan setakat 3 Mac 2021 jumlah itu menjadi RM197,329.87.
Akta Insolvensi 1967 membenarkan prosiding kebankrapan dimulakan ke atas mana-mana individu yang gagal membayar penghakiman melebihi RM100,000.
No comments:
Post a Comment