Wednesday, September 2, 2020

SPRM belum buka kertas siasatan projek runding terus

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 
(SPRM) Azam Baki berkata pihaknya sedang melihat dan 
mengkaji senarai syarikat menerima projek berkenaan dan 
menilai sama ada terdapat unsur rasuah atau tidak dalam 
rundingan itu

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini belum membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus yang diluluskan bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki.

Beliau berkata, pihak SPRM masih membuat analisis terhadap semua projek itu sama ada ia mempunyai unsur rasuah atau sebaliknya.

“Di bawah amalan Perbendaharaan, ada 3 kaedah untuk mengeluarkan tender bagi sesuatu projek dan salah 1 adalah secara rundingan terus.

“Kita sekarang sedang melihat dan mengkaji senarai syarikat yang menerima projek berkenaan dan menilai sama ada terdapat unsur rasuah atau tidak dalam rundingan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena program cakna rasuah: SPRM bersama media zon selatan hari ini.

Pada 24 Ogos lalu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui PH selama 22 bulan, meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Dalam perkembangan lain, Azam berkata sejak 2015 hingga Ogos 2020, sebanyak 1,196 maklumat diterima SPRM Melaka berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan orang awam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 427 fail dibuka dan 119 penjawat awam ditahan dan didakwa di mahkamah atas kesalahan menyalahgunakan kedudukan untuk memperoleh suapan.

No comments: