KOTA KINABALU: Tempoh 2 jam terakhir sebelum pusat pengundian ditutup pada 5 petang menyaksikan pengundi Sabah terus komited menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri baru.
Komitmen ini dapat dilihat melalui peratusan keluar mengundi yang terus meningkat dari semasa ke semasa sejak proses pengundian bermula pada 7.30 pagi.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 54% pengundi telah mencalit dakwat hitam di jari mereka setakat 2 petang.
Pelbagai gelagat dan telatah pengundi dapat dilihat sepanjang proses pengundian.
Ini termasuk telatah seorang pengundi di SMK Tansau, kira-kira 13 kilometer dari sini, yang mengenakan kostum adiwira ‘Power Rangers’ berwarna putih dilengkapi pedang mainan, menurut hantaran di Facebook Jabatan Penerangan Sabah.
Ada juga pengundi memakai mahkota dan pakaian tradisional suku kaum di ‘Negeri di Bawah Bayu’ itu manakala 1 lagi gambar yang tular memaparkan pengundi hadir dengan menaiki beca motosikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Nongkolud, Tuaran.
Calon Warisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin Yusof Yacob, yang juga ketua penerangan parti itu, memilih untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika mengundi di Sipitang.
Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi DUN dan proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat.
No comments:
Post a Comment