Wednesday, September 30, 2020

SPRM tahan pengarah urusan kemuka dokumen palsu tender RM22 juta

Bernama
SPRM
SPRM

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender bernilai RM22 juta di sebuah kementerian pada Julai 2018.

Sumber SPRM Kedah memberitahu, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Kajang, Selangor pada pukul 12 tengah hari, semalam.

“Suspek telah mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu dengan mengarah dan memaksa dua orang kakitangannya membuat penyata bank dan cop palsu.

“Ia bertujuan untuk syarikat itu memasuki tender sebuah kementerian untuk kerja-kerja pembersihan di sebuah jabatan di Kedah yang bernilai lebih RM22 juta,” katanya di sini hari ini.

Syarikat itu juga dikatakan telah dianugerahkan projek tersebut oleh kementerian berkenaan pada tahun yang sama.

Dalam pada itu, perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini telah dikeluarkan ke atas suspek itu oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Jamaluddin Alias bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 18, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.— BERNAMA

No comments: