Jabatan Imigresen menahan 110 pendatang asing tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi Ops Durian selepas menggempur tiga kilang dan 11 kebun durian di sekitar kawasan Raub.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata menerusi empat siri operasi yang dilaksanakan bermula 13 Ogos sehingga hari ini, warga Indonesia mencatatkan bilangan tahanan paling tinggi seramai 94 orang diikuti Myanmar lapan orang dan masing-masing empat warga Bangladesh dan Pakistan.
"Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan telah tinggal lebih masa dengan menggunakan pas lawatan sosial yang diberikan kepada pelancong masuk ke Malaysia.
"Warga Indonesia yang paling ramai ditangkap di sini kerana mereka mempunyai kemahiran tentang berkebun dan kami percaya masih ramai lagi pendatang asing tanpa izin berjaya melarikan diri susulan operasi ini diadakan dan operasi ini tidak akan terhenti di sini," tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Ops Durian yang telah dilaksanakan oleh lebih 25 anggota jabatan itu di Sungai Ruan di Raub hari ini.
Menurutnya, antara cabaran yang dilalui ketika operasi itu ialah kawasan kebun begitu luas, dianggarkan lebih 8,800 hektar selain pemilik kebun telah melatih anjing untuk menjaga kawasan mereka.
Kesemua mereka yang ditahan, katanya, akan dibawa ke depoh Kemayan, Teriang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata pihaknya masih memburu beberapa individu yang terlibat dalam sindiket pemalsuan cap imigresen didalangi warga Indonesia sejak dua tahun lepas yang dikenali sebagai ‘Sindiket Anton’.
"Kita masih memburu mereka ini, saki baki ahli kumpulan ini masih ada dan kita akan terus mengesan mereka," katanya.
Pada 15 Sept, Bernama melaporkan sindiket berkenaan tumpas susulan dua premis berkaitan kegiatan itu di Sungai Way, Petaling Jaya diserbu dan dalang utama sindiket itu dikenali sebagai 'Anton' berusia 38 tahun dan isterinya, 32, juga warga Indonesia ditahan pada 14 Sept.
Sindiket
itu membuat cap palsu imigresen kepada mana-mana individu yang telah
tinggal lebih masa sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dengan pemilik pasport akan menghantar pasport berserta bayaran antara
RM150 hingga RM250 bagi setiap cap. #Sumber : - Bernama
No comments:
Post a Comment