BACHOK: Jabatan Pertanian Negeri Kelantan mengesan ancaman sejenis ulat yang dikenali sebagai ‘Fall Armyworm’ (FAW) mula memusnahkan beratus hektar tanaman jagung di Kampung Sungai, di sini, sejak seminggu lepas.
Pengarahnya, Norbahani Zakaria berkata, ulat dari kitaran hidup kupu-kupu itu dikatakan mampu terbang sehingga 100 kilometer dalam tempoh satu jam berasal dari negara Afrika yang dipercayai masuk ke negara ini melalui Thailand.
Menurutnya, hasil kajian mendapati ulat FAW gemar menyerang buah jagung yang hampir dituai menyebabkan petani menanggung kerugian beratus ribu ringgit.
“Sebelum ini ancaman yang sama turut berlaku di Tanah Merah, Jeli, Tumpat dan Pasir Mas sehingga beberapa langkah meracun dan kaedah pencegahan secara biologi dilaksanakan bagi menghapus baka serangga perosak itu.
“Lazimnya, kupu-kupu ini menjadikan ladang rumput Napier untuk ternakan lembu sebagai kawasan yang paling diminati dan jagung manis adalah perumah kepada telur, ulat dan larvanya.
“Kupu-kupu ini boleh membiak dalam skala yang besar sehingga 1,000 biji telur dalam satu jangka hayat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau ladang Peladang Jaya, Mohamed Noor Awang Hamat, 72, di sini, petang ini.
Norbahani berkata, data mengenai jumlah sebenar kawasan tanaman yang rosak sedang dijalankan untuk tindakan lanjut bagi menghapus pembiakan serangga berkenaan.
Katanya, petani yang menghadapi ancaman itu diminta membersihkan ladang, membakar pokok dan buah jagung yang rosak serta tidak mengusahakan tanaman itu untuk tempoh dua musim.
Sementara itu, Mohamed Noor berkata, serangan ulat itu adalah pertama kali berlaku sepanjang tempoh 30 tahun mengusahakan tanaman jagung komersil yang dipasarkan ke seluruh negara.
Menurutnya, hanya 30 peratus buah jangung di kawasan seluas lebih empat hektar kawasan yang tinggal diusahakan dengan kerugian mencecah RM200, 000.
“Ini tidak termasuk tanggungan kos pekerja dan pengurusan ladang. Saya akan mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Pertanian agar musibah yang sama tidak berulang pada musim penanaman akan datang, katanya.
Seorang lagi petani, Mohd. Zaid Hanafi, 68, berkata, jagung yang ditanam di kawasan seluas 4.8 hektar untuk dipasarkan di Singapura dan Hong Kong tidak kesampaian apabila hasil tuaian itu terlebih awal dimakan ulat FAW.
Menurutnya, kerugian kos benih, baja, upah membajak dan racun terpaksa ditanggung selian mengurus tanaman selama 65 hari tanpa pulangan keuntungan.
Sementara itu, Pengurus Syarikat Elite Team Management, Datuk Mohd. Adnan Mohd. Zin berkata, syarikatnya terpaksa membatalkan pembelian kerana kualiti hasil tuaian gagal dipasarkan di luar negara.
Menurutnya, sebatang jagung Gred A boleh dijual sehingga RM1.80 manakala Gred B dijual dengan harga RM1 bagi urusniaga borong.
“Setiap petani yang mengusahakan ladang yang luas akan mengeluarkan modal pengurusan sehingga RM60,000 dan sepatutnya mendapat hasil tuaian bernilai RM180, 000,” katanya. – UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment