Monday, September 21, 2020

Penduduk beri amaran 'sumpah 7 keturunan' jika bina empangan

Malaysiakini
  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Bagi penduduk kawasan terpencil di Kampung Terian, Ulu Papar, Sabah, kediaman mereka dikelilingi hutan yang hanya boleh dilalui menaiki kereta pacuan empat roda itu sudah begitu selesa.

Bagaimanapun, cara hidup 300 masyarakat Kadazan Dusun (KDM) itu dikatakan terancam selepas penduduk berdepan kemungkinan dipindahkan sekiranya Empangan Papar, yang dicadangkan kerajaan Warisan sebelum ini, dibina.

Ketua Menteri sementara Mohd Shafie Apdal, menegaskan empangan itu perlu bagi memastikan bekalan air buat ibu kota negeri, Kota Kinabalu, manakala pengkritik menuntut alternatif lain.

Baru-baru ini, penduduk telah mempamerkan kain rentang di jalan masuk Kampung Terian, dengan menegaskan bahawa mereka hanya akan mengundi calon yang menentang pembinaan empangan dan yang memperjuangkan tanah mereka sehingga mati.

“Empangan diteruskan kena sumpah tujuh keturunan,” tulis penduduk menerusi kain rentang itu.

Kampung Terian merupakan satu dari tujuh kampung yang dipercayai pakar Geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS) Felix Tunggal akan tenggelam ekoran pembinaan Empangan Papar.

Malah, dua kampung juga terpaksa dipindahkan kerana lokasinya yang berdekatan dengan sungai.

Idea pembinaan empangan di bukit berhampiran Kota Kinabalu bukan baru.

Sewaktu pentadbiran BN. turut terdapat usul mewujudkan Empangan Kaiduan di daerah Penampang, yang kemudian dibantah Warisan.

Setelah kerajaan negeri diambil alih Warisan, pihak itu mengusulkan pembinaan di Sungai Papar di kawasan daerah Papar.

Pelopor yang menentang pembinaan Empangan Papar terdahulu turut merupakan petugas khas membantah Empangan Kaiduan (Takad).

Pengerusinya, Diana Sipail (bawah) berkata penduduk telah mengadakan upacara keagamaan sejak 2010 sejak Empangan Kaiduan pertama kali diusulkan dan percaya kesannya bertahan sehingga kini.

“Sumpahan akan terkena kepada pihak yang mengambil barang pemilik asal dan untuk kes ini tanah kami.

“Pada 2010, kami ada 300 orang dari tujuh kampung buat upacara agama. Kesannya masih ada sehingga hari ini,” jelas Diana.

Namun, dia mengatakan sumpahan itu hanya bertujuan membawa nasib buruk pada sasaran supaya mereka tidak akan mendapat apa yang diinginkan selama tujuh keturunan.

Warga emas, Kulami Talah, 85, meluahkan rasa bangga selepas membesarkan 13 anaknya melalui sumber alam di kawasan itu.

“Saya tidak mahu tenggelam, jika tenggelam saya mahu sumpah tujuh keturunan,” Kulami memberitahu Malaysiakini ketika di rumahnya.

Dia percaya masa depan anak dan 51 cucunya dalam bahaya jika tanah itu diambil. Wanita 80-an itu juga berkata dia masih mencari makan dan mengawasi ladang yang diuruskan oleh keturunannya.

Anak perempuannya, Evelyn Sipail (bawah) turut mahukan tanah nenek moyangnya kekal sebegitu.

“Kami tak akan pindah dari sini sebab ini tanah tumpah darah kami. Permintaan kami batal empangan, empangan kami tidak mahu, Ulu Papar itu syurga kami, empangan itu neraka,” katanya.

Seorang warga emas wanita, Loggini Gambidau berkata dia tidak pernah meninggalkan kampung jadi dia bersama penduduk lain tidak wajar diganggu oleh kerajaan negeri.

“Tanah ini beri kami lebih dari makanan dan saya mahu masa depan anak dan cucu saya terjamin,” katanya.

Loggini turut menambah dia telah terlibat melakukan pelbagai sekatan bagi mengelakkan kemasukan orang luar sebelum ini.

Projek Empangan Papar telah menjadi topik hangat kempen bagi kerusi Moyog, kawasan di mana empangan itu akan dibina.

Parti pembangkang seperti Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Cinta Sabah telah membantah projek itu secara terang-terangan namun BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal berdiam diri.

Pemimpin Warisan Darrel Ignatius Leiking kini bertanding untuk mempertahankan kerusi buat partinya. Pada tahun 2019, Leiking menggesa kerajaan negeri untuk mendengar keluhan masyarakat.

Pada 2019, Leiking mendesak kerajaan negeri “mendengar” bantahan itu, tetapi tidak menyatakan bantahannya secara jelas.

Ketika ditemui Malaysiakini, Penduduk Kampung Terian Nousi Giun (bawah), 39, dan Oly Verron Den, 26, turut meluahkan rasa kecewa dengan keputusan kerajaan Warisan ke atas Empangan Papar, meskipun pada awalnya turut membantah pembinaan Empangan Kaiduan.

“Kerajaan ditawarkan dengan beberapa cara lain untuk projek empangan (tetapi pilih untuk tak terima) apabila cara alternatif itu berjaya di negara lain.

“Sudah tentu saya marah dan rasa dikhianati. Saya akan tolak Warisan kali ini,” kata Nousi dengan menambah kali ini dia akan membuat keputusan yang bijak.

 Jelasnya, apa yang diperlukan Kampung Terian adalah jalan yang berturap yang dikatanya telah diterima oleh kampung KDM yang lain.

Tambahnya, perkara itu penting terutamanya sekarang selepas ramai anak muda yang pulang ke kampung ekoran masalah ekonomi.

Jalan tidak berturap menghubungkan Kampung Terian ke kawasan bandar telah dibuat pada tahun 2009 tetapi ia tidak boleh dilalui pada musim hujan.

Perjalanan dari kampung itu ke Kota Kinabalu memerlukan kenderaan pacuan empat roda dan mesti melalui dua sungai. Sebagai alternatif, penduduk terpaksa berjalan kaki kira-kira lapan jam untuk sampai ke bandar.

No comments: