Sunday, September 20, 2020

Pemilik kilang direman pasang Jalur Gemilang terbalik

Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
PEMILIK kilang (depan) bersama pekerja warga Indonesia berjalan memasuk bangunan Mahkamah Majistret Kulai kerana memasang Bendera Jalur Gemilang secara terbalik di Kulai semalam. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM

KULAI: Dua individu termasuk seorang pemilik kilang direman selama tiga hari kerana dipercayai memasang bendera Malaysia secara terbalik di sebuah kilang plastik di Kawasan Perindustrian Senai di sini. 

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin di Mahkamah Majistret Kulai di sini hari ini. 

Selain itu, turut direman seorang pekerja warga Indonesia. 

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya membuat serbuan ke premis berkenaan pada pukul 2.50 petang selepas mendapat aduan orang awam yang menularkan perkara itu dalam media sosial. 

“Ketika pemeriksaan dibuat, pemilik kilang berusia 56 tahun itu mengaku mengarahkan pekerja warga Indonesia berusia 23 tahun untuk menukar bendera Malaysia yang telah lusuh kepada bendera baharu.

“Pekerja yang baharu bekerja selama tiga bulan itu mengaku memasang bendera berkenaan, manakala pemilik kilang tidak membuat pemantauan semula sebelum gambar bendera terbalik itu tular dalam media sosial,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Sehubungan itu, kedua-dua suspek ditahan reman manakala kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) Pindaan 2017 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Tambah Beng Yeow, pihaknya turut merampas sehelai bendera Malaysia di kilang yang telah beroperasi sejak beberapa tahun itu. 

“Insiden ini melibatkan penghinaan terhadap bendera Malaysia sama ada dipasang atau digantung secara terbalik atau digunakan bagi maksud yang tidak sewajarnya,” ujarnya. – UTUSAN

No comments: