Tuesday, September 1, 2020

PBT sertai serbuan polis di kelab malam, ancam tarik balik permit operasi

PUTRAJAYA: Penguatkuasa pihak berkuasa tempatan akan menyertai operasi pematuhan perintah kawalan pergerakan pemulihan polis di kelab malam, selepas didapati semakin ramai orang berani mengingkari arahan pencegahan pandemik Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata demikian selepas 600 individu dikenakan kompaun kerana aktiviti di kelab malam, yang sebenarnya masih lagi belum dibenarkan beroperasi.

“Kita akan kenakan tindakan tegas terhadap premis pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik balik permit operasi membabitkan kelab malam,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail menjelaskan kuasa polis terhad kepada menahan individu, namun dengan penyertaan PBT, tindakan menutup premis boleh diambil.

Mengenai perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kedah, kerajaan mengumumkan PKPD secara pentabiran di Aman Jaya, Kedah berkuatkuasa sehingga 10 Sept.

“Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan menyaring 12,533 daripada 22,560 individu di zon Kenanga, Mawar dan Melur.

“Angka ini menunjukkan 50% individu disaring dan keputusan akan diterima selepas semua selesai,” katanya.

No comments: