Wednesday, September 2, 2020

Orang Islam kena tolak rasuah seperti mereka jijik kepada babi – Azam

Manzaidi Mohd Amin
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata penangkapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak akan melibatkan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Azam Baki

KUALA LUMPUR – Dua perkara yang agak kritikal perlu dilihat oleh kerajaan dan masyarakat dalam usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan penguatkuasaan pencegahan rasuah secara berkesan di negara ini.

Pertamanya, daripada segi kebebasan SPRM itu sendiri di mana perlu ada political will dan kedua perlu memperlihatkan suruhanjaya itu sebagai satu badan yang bebas tanpa ada ganggu gugat atau campur tangan mana-mana pihak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika menjelaskan perkara itu berkata, jika ditanya kepadanya di mana SPRM sekarang, beliau mengakui sememangnya badan itu disokong oleh kerajaan pemerintah.

“Kalau tanya saya, di mana SPRM dalam keadaan sekarang ini, memang kami disokong oleh kerajaan pemerintah untuk kita melaksanakan pencegahan rasuah secara berkesan.

“Bahkan, baru-baru ini kerajaan telah bersetuju dalam Mesyuarat Kawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk memperkasakan lagi SPRM.

“Mesyuarat itu membincangkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu dibuat melalui perlembagaan undang-undang, iaitu pelantikan akan datang kalau dipersetujui, memerlukan majoriti dua pertiga dari Ahli Parlimen,” katanya menerusi bual bicara Dialog@Gegau bersama Melakafm hari ini.

Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan akan meletakkan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu mengikut Perlembagaan dan sekiranya untuk ditamatkan perkhidmatan juga perlu melalui satu tribunal yang khas- bukan boleh ditamatkan begitu saja oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Seterusnya, kata Azam, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang mana sekarang ini mereka di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Sebelum ini, pengambilan pegawai dan kakitangan (SPRM) melalui SPA. Jadi, dengan memberi kebebasan kepada kami untuk melantik pegawai atau kakitangan melalui suruhanjaya sendiri adalah baik dan ini akan menunjukkan ketelusan kerajaan serta kebebasan SPRM dalam melakukan tindakannya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai terutama penjawat awam agar menolak dan membenci rasuah sebagaimana umat Islam menyatakan benci dan jijik kepada daging babi serta anjing.

“Kita perlu meningkatkan integriti yang baik dalam kehidupan seharian dan dalam menjalankan tugas sebagai penjawat awam.

“Tolaklah rasuah dan bencilah rasuah sebagaimana orang Islam mengatakan benci dan jijik kepada daging babi dan anjing.

“Begitu juga kalau kita bercakap pasal rasuah ini, kita benci kepada rasuah sebagaimana kita benci anjing dan babi,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments: